Pembacaan doa dikurniakan hujan dilaksanakan di masjid, surau seluruh negara

5 Sep 2026 - 5:15am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ingin memaklumkan bahawa sebagai usaha dan ikhtiar bagi menghadapi situasi cuaca berjerebu pada masa ini, maka pembacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu akan dilaksanakan di masjid-masjid dan surau-surau serta balai ibadat seluruh negara.

Sehubungan itu, pembacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu akan dilaksanakan selepas Sembahyang Sunat Hajat pada waktu Maghrib di masjid-masjid dan surau surau serta balai ibadat seluruh negara bermula pada Selasa, 20 Rabiulawal 1448 Hijrah bersamaan 1 September 2026 Masihi dan selepas Sembahyang Sunat Hajat pada Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau serta balai ibadat seluruh negara bermula pada Jumaat, 22 Rabiulawal 1448H bersamaan 4 September 2026M sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Umat Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) turut diseru untuk sama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Hajat dan membaca Doa bagi kesejahteraan dan keselamatan dalam menghadapi keadaan cuaca pada masa ini sama ada secara berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau serta balai ibadat seluruh negara atau di rumah kediaman masing-masing.

Semoga dengan keberkatan bacaan doa ini, Allah Subhanahu Wata'ala akan terus melimpahkan rahmat, keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyat dan penduduk NBD.