Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. – Bank Baiduri akan menyertai Pameran Kerjaya UBD 2026 (UBD Career Fair 2026) yang akan berlangsung pada 2 dan 3 September 2026 di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Acara selama dua hari berkenaan yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang berkenaan menyediakan peluang kepada para pelajar dan graduan baharu untuk meneroka laluan kerjaya di salah sebuah institusi kewangan terkemuka negara, di samping mendapatkan pandangan mengenai kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi landskap pekerjaan masa kini dan akan datang.
Sebagai salah sebuah institusi kewangan terkemuka negara, Bank Baiduri terus memberikan keutamaan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan dengan menyediakan pelbagai peluang pembelajaran, perkembangan kerjaya dan peningkatan profesional.
Penyertaan bank dalam pameran kerjaya berkenaan bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai kemahiran, pemikiran dan keupayaan yang diperlukan dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah, selain memperkenalkan peluang kerjaya dalam pelbagai bidang operasi bank.
Para pengunjung ke reruai Bank Baiduri berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai laluan kerjaya dalam bidang seperti perbankan runcit, pengurusan kekayaan, perbankan korporat dan institusi, kewangan, teknologi, pengurusan risiko serta pelbagai fungsi lain yang menyumbang kepada pertumbuhan dan transformasi berterusan bank.
Para pelajar dan graduan juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil bank bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai budaya tempat kerja serta mengetahui bagaimana bank menyokong pembangunan para pekerjanya melalui pembelajaran berterusan, program kepimpinan, inisiatif pembangunan profesional dan peluang membina kerjaya yang bermakna dalam organisasi.
Melalui inisiatif seperti Pameran Kerjaya UBD, Bank Baiduri berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi profesional akan datang, menyokong aspirasi kerjaya mereka serta membantu membangunkan bakat yang akan memainkan peranan dalam membentuk masa depan ekonomi dan industri negara.
Para pelajar, graduan baharu dan individu yang berminat untuk membina kerjaya adalah dialu-alukan untuk mengunjungi reruai Bank Baiduri sepanjang pameran kerjaya selama dua hari berkenaan bagi berinteraksi secara langsung dengan wakil bank, mengetahui lebih lanjut mengenai peluang yang ditawarkan serta meneroka bagaimana mereka dapat menyumbang kepada masa depan sektor perbankan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Bank Baiduri, orang ramai boleh melayari laman sesawang ‘www.baiduri.com’, mengikuti saluran media sosial bank atau menghubungi Talian Khidmat Pelanggan 24 jam di +673 2449666.