Peluang ahli parlimen berkongsi perkara berkepentingan bersama

30 Og 2026 - 9:00am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Sabtu, 29 Ogos. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck; dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin baru-baru ini telah menyertai Seminar bagi Ahli-ahli Parlimen ASEAN 2026 (2026 Seminar for ASEAN Parliamentarians) yang berlangsung dari 20 hingga 27 Ogos 2026 di Beijing, Republik Rakyat China.

Dengan tema 'Strengthening Exchanges Among Legislatures to Foster the China-ASEAN Comprehensive Strategic Partnership', seminar berkenaan telah memberi peluang untuk ahli-ahli parlimen daripada Negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama seperti kerjasama ekonomi, pembangunan, pertanian serta kerjasama perdagangan.

Delegasi MMN turut berkongsi pengalaman serta saling bertukar pandangan mengenai pengalaman negara dalam isu-isu yang berkepentingan bersama serta menekankan komitmen negara dalam mengukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China.

Program berkenaan juga menyediakan peluang bagi lawatan ke Wilayah Hainan bagi melihat secara langsung perkembangan pembangunan wilayah berkenaan terutamanya sebagai hab sektor kesihatan, teknologi, pertanian dan perdagangan termasuk Hainan Free Trade Port, Boao Lecheng International Medical Tourism Pilot Zone, Wenchang Launch Station dan Chinese Academy of Tropical Agricultural Sciences.