Pelanjutan pelaksanaan Home-Based Learning

5 Sep 2026 - 5:38am

Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. - Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ingin memaklumkan bahawa berdasarkan pemantauan dan penilaian semula terhadap keadaan kualiti udara semasa, Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home-Based Learning – HBL) bagi semua sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan Pusat Tingkatan Enam (kerajaan dan swasta) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah ugama, Arab dan Institut Tahfiz di bawah kawalan KHEU akan diteruskan pada Sabtu, 5 September 2026. Penilaian seterusnya akan dilaksanakan pada Ahad, 6 September 2026.

Ketetapan ini dibuat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan keadaan jerebu yang masih berlanjutan, dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan para pelajar serta seluruh warga institusi pendidikan.

Sehubungan itu, institusi pendidikan berkenaan hendaklah terus mengaktifkan Pelan Kesinambungan Operasi (Business Continuity Plan – BCP) masing-masing bagi memastikan kesinambungan pembelajaran dan pengajaran.

Pelaksanaannya boleh dibuat secara dalam talian atau melalui Pek Pembelajaran di Rumah (Home Learning Pack – HLP), mengikut kesesuaian dan keperluan pelajar.

Bagi institusi pengajian tinggi, pengoperasian serta pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran adalah tertakluk kepada ketetapan institusi masing-masing, dengan mengambil kira keadaan kualiti udara semasa serta keselamatan dan kesejahteraan warga institusi. Kementerian Pendidikan dan KHEU akan terus memantau keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa.

Ketetapan mengenai pengoperasian semula institusi pendidikan secara bersemuka adalah tertakluk kepada perkembangan dan keadaan kualiti udara semasa.

Kementerian Pendidikan dan KHEU merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kefahaman para pelajar, ibu bapa dan penjaga serta seluruh warga institusi pendidikan dalam memastikan kelangsungan pembelajaran sepanjang tempoh ini.