Pelan Tindakan Menangani Jerebu di institusi pendidikan

2 Sep 2026 - 7:10am
MOE

Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. –  Berikutan dengan Siaran Akhbar mengenai situasi jerebu di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang dikeluarkan pada 1 September 2026 oleh Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan ingin memaklumkan mengenai Pelan Tindakan Insiden Menangani Jerebu Berdasarkan Catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Ini adalah dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan warga institusi-institusi pendidikan (kerajaan dan swasta) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Sehubungan itu, merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Insiden Menangani Jerebu di Sekolah-sekolah di Seluruh NBD, warga institusi-institusi pendidikan adalah untuk mengambil tindakan berikut, iaitu memastikan pelajar yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma untuk sentiasa membawa ubat-ubatan yang diperlukan ke sekolah; sekolah juga dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu di dalam bangunan, termasuk menutup pintu dan tingkap apabila diperlukan; menggalakkan penggunaan sungkup muka jenis KF94/N95 terutamanya bagi individu berisiko tinggi seperti mempunyai masalah paru-paru, jantung dan ibu mengandung, khususnya semasa berada di luar bangunan; mengehadkan aktiviti luar seperti sukan dan kegiatan kokurikulum apabila bacaan IPU melebihi 100 (tidak menyihatkan); memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang baik; dan pelajar serta warga sekolah yang mengalami gejala berkaitan jerebu yang berterusan atau semakin teruk hendaklah mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Kementerian Pendidikan akan terus memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa. Sebarang tindakan dalam menangani isu berkenaan tidak terhad kepada bacaan IPU sahaja, tetapi akan mengambil kira keadaan infrastruktur serta kemudahan bagi setiap institusi pendidikan secara ‘case-by-case’.

Sementara itu bagi peperiksaan awam seperti Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Brunei Cambridge GCE 'O' Level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan Brunei-Cambridge GCE 'AS' dan 'A' Level akan dijalankan mengikut garis panduan yang disediakan hasil perbincangan bersama dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Kementerian Pendidikan akan sentiasa mengutamakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah dalam menentukan sebarang tindakan selanjutnya.