Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. - Dengan merujuk maklumat Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan mengenai keadaan cuaca berjerebu yang dialami pada masa ini di Negara Brunei Darussalam (NBD), maka pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) telah menyediakan satu Pelan Tindakan khususnya melibatkan pelaksanaan Sembahyang Fardu Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau serta balai ibadat di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi keadaan cuaca berjerebu berkenaan.
Pelan Tindakan berkenaan dilaksanakan melalui JHEM bertujuan bagi memastikan kemaslahatan dan kesejahteraan para jemaah khususnya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak dalam melaksanakan ibadah khususnya Sembahyang Fardu Jumaat.
Di samping itu, ia juga dihasratkan sebagai panduan bagi masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Langkah-langkah yang dilaksanakan adalah seperti berikut, iaitu kandungan teks Khutbah Jumaat diringkaskan dengan terus mengekalkan rukun-rukun khutbah; dan bacaan surah-surah pendek selepas Surah Al-Fatihah dalam Sembahyang Fardu Jumaat.
Waktu Azan bagi Sembahyang Fardu Jumaat akan bermula pada pukul 12.45 tengah hari.
Oleh yang demikian, para jemaah adalah digalakkan untuk hadir lebih awal dan meraih ganjaran pahala iktikaf serta sama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Hajat dan berdoa agar NBD sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala dengan dikurniakan keselamatan, kemakmuran, kesejahteraan dan hujan yang membawa rahmat dan manfaat serta meredakan jerebu.