Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUNGKU LINK, Selasa, 3 November. – Dengan hasrat untuk terus memberi peluang kepada para mahasiswa untuk menerapkan konsep-konsep Melayu Islam Beraja (MIB) secara praktikal dan menarik, di samping memupuk semangat kerja berpasukan, pemikiran kritis, serta kemahiran komunikasi yang berkesan, Unit MIB di bawah Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (Centre for Communication, Teaching and Learning - CCTL), Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini telah berjaya menganjurkan Pameran Dandam MIB 2026.
Pameran yang menampilkan kreativiti serta pemahaman para mahasiswa mengenai falsafah kebangsaan, Pameran Dandam MIB 2026 berkenaan telah diadakan di Dewan Serbaguna UTB dan Bangunan Fakulti Kejuruteraan.
Sebanyak 60 reruai pameran yang melibatkan penyertaan 413 mahasiswa UTB telah memeriahkan acara berkenaan. Para mahasiswa yang terlibat mengetengahkan pemahaman dan penghayatan mereka terhadap nilai-nilai MIB melalui pelbagai pameran kreatif, pembentangan, dan bahan pameran berbentuk pendidikan.
Pameran berkenaan merupakan kemuncak kepada projek pembentangan berkumpulan di bawah Modul MIB, yang melibatkan mahasiswa tahun pertama dari Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Perniagaan UTB, Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (School of Computing and Informatics - SCI), Sekolah Sains Gunaan dan Matematik (School of Applied Sciences and Mathematics - SASM), CCTL serta Sekolah Reka Bentuk (School of Design - SDe).
Acara berkenaan menghimpunkan para tenaga akademik, pegawai, mahasiswa dan tetamu jemputan, bermula dengan Majlis Perasmian yang diikuti dengan lawatan ke reruai pameran.
Para pengunjung berpeluang meneroka pelbagai tafsiran mengenai MIB yang dipersembahkan oleh para mahasiswa serta memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan falsafah berkenaan dalam masyarakat kontemporari.
Pameran Dandam MIB 2026 mencerminkan komitmen UTB dalam melahirkan graduan yang holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik masing-masing, malah mempunyai penghayatan yang kukuh terhadap falsafah kebangsaan, nilai-nilai dan warisan budaya Negara Brunei Darussalam.
Pameran berkenaan turut mengetengahkan kepentingan menerapkan prinsip-prinsip MIB dalam pendidikan tinggi, dengan menggalakkan para mahasiswa untuk lebih memahami peranan mereka sebagai bakal profesional dan warganegara yang bertanggungjawab, di samping memelihara serta mempromosi identiti dan nilai-nilai negara.