Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) buat julung kalinya menyertai World Travel Market (WTM) London 2026 yang berlangsung pada 3 hingga 5 November 2026 di ExCeL London, United Kingdom (UK).
Delegasi NBD diketuai oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) bersama syarikat penerbangan kebangsaan, Royal Brunei (RB) serta agensi pelancongan tempatan, As-Safa Travel & Tours Sdn. Bhd. dan AZ Back to Nature Travel & Tours Sdn. Bhd.
Penyertaan NBD merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran UK dan pasaran Eropah secara lebih meluas. Pada tahun 2025, NBD mencatatkan kira-kira 9,054 ketibaan pelancong melalui udara dari UK, sekali gus menunjukkan potensi pasaran tersebut untuk terus berkembang.
WTM London menyediakan platform bagi menjalinkan hubungan dengan ejen pelancongan antarabangsa, pengendali pelancongan, syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan dalam industri pelancongan, di samping membina kerjasama industri dan membuka peluang untuk menarik lebih ramai pengunjung ke NBD.
Antara sorotan utama penyertaan NBD ialah promosi Kempen Pelancongan Brunei, ‘Ancient Rainforests. Extraordinary Discoveries’ (Hutan Hujan Purba, Penemuan Luar Biasa).
Kempen ini dibangunkan dengan kerjasama RB, Avis dan para peniaga tempatan, dengan mengetengahkan pelancongan pandu sendiri sebagai salah satu cara bagi para pengunjung menerokai NBD mengikut keselesaan dan pilihan masing-masing, di luar daripada lawatan bandar yang lazim serta laluan pelancongan konvensional.
Daripada hutan hujan purba dan tarikan berasaskan alam semula jadi hinggalah kepada warisan budaya, komuniti tempatan dan pengalaman kulinari, para pengunjung berpeluang merancang jadual perjalanan sendiri serta menikmati lebih banyak fleksibiliti dalam menerokai negara ini.
Melalui inisiatif ini, jabatan berhasrat untuk menggalakkan tempoh penginapan yang lebih panjang, meningkatkan perbelanjaan pelancong serta menjana lebih banyak peluang ekonomi kepada pengusaha pelancongan dan perniagaan tempatan di seluruh negara.
Selain kempen tersebut, NBD turut mengetengahkan pelbagai tawaran pelancongan yang lebih luas merangkumi alam semula jadi, kebudayaan, warisan, pelancongan Islam dan pengembaraan.
Destinasi ini sesuai bagi para pelancong yang ingin menjadikan NBD sebagai destinasi percutian utama, mahupun mereka yang berhasrat untuk memasukkan NBD dalam jadual perjalanan yang merangkumi beberapa destinasi di rantau Asia Tenggara.
Gabungan landskap semula jadi, pengalaman kebudayaan dan suasana yang aman memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menerokai keunikan tersendiri rantau ini.
Sepanjang WTM London berlangsung, delegasi NBD akan mengadakan sesi pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (Business-to-Business – B2B) bersama wakil-wakil industri pelancongan dari UK, Eropah dan pasaran antarabangsa yang lain.
Pertemuan ini akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan pasaran, mengenal pasti peluang untuk membangunkan pakej-pakej pelancongan baharu, memperluas saluran pengedaran serta menggalakkan rakan strategik pelancongan antarabangsa untuk memasukkan NBD dalam jadual perjalanan mereka.
Penyertaan ini juga menyokong persiapan menjelang Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year – VBY) 2027, sekali gus menyediakan peluang untuk memperkenalkan inisiatif yang bakal dilaksanakan kepada rakan-rakan industri pelancongan antarabangsa serta menggalakkan pembangunan dan promosi pakej-pakej pelancongan menjelang tahun 2027.
Melalui pemasaran bersasar, kerjasama strategik dan penglibatan industri, Jabatan berhasrat untuk meningkatkan kesedaran terhadap NBD sebagai sebuah destinasi pelancongan, merangsang permintaan pelancongan serta membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan pelancongan tempatan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran pelancongan NBD, sila layari laman sesawang www.bruneitourism.com atau ikuti akaun media sosial @brunei.tourism.