NBD alami keadaan berjerebu

2 Sep 2026 - 6:50am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. – Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengalami keadaan berjerebu dengan jarak penglihatan mendatar antara 6km hingga 9km yang direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejak 18 Ogos 2026 dan pada 31 Ogos 2026 jarak penglihatan mendatar menurun sehingga 2 km disebabkan oleh keadaan jerebu yang semakin menebal di negara ini.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 31 Ogos 2026 pukul 5.02 petang menunjukkan titik panas masih dikesan terutamanya di kawasan Selatan Pulau Borneo dan angin bertiup dari arah Barat Daya menuju kawasan Utara kepulauan Borneo dan merentasi kawasan NBD sepertimana yang dipaparkan dalam rajah yang disediakan.

Keadaan cuaca masih diramalkan panas dan kering dengan aktiviti turunan hujan yang minimum sehingga minggu pertama bulan September 2026 dan memandangkan keadaan titik panas (hotspot) masih dikesan dan angin Barat Daya yang merentasi negara, jerebu rentas sempadan dijangka akan berterusan di NBD beberapa hari akan datang.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu bagi menangani keadaan berjerebu ini, selaras dengan nasihat daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

Manakala maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).