NBD alami keadaan berjerebu

31 Og 2026 - 5:57am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini mengalami keadaan berjerebu. Sejak beberapa hari lepas, imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) mengesan sebanyak 514 titik panas pada 27 Ogos 2026, 1734 titik panas pada 28 Ogos 2026 dan 1180 titik panas pada 29 hari bulan Ogos 2026 di kepulauan Borneo.

Titik panas ini kebanyakannya dikesan di bahagian Barat Borneo, terutamanya di kawasan Kalimantan Tengah dan Barat. Angin barat daya yang bertiup ke arah NBD serta asap jerebu daripada titik panas tersebut telah mengakibatkan keadaan berjerebu di negara ini.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan bahawa NBD pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin pada amnya bertiup dari arah Barat Daya di rantau ini.

Berdasarkan ramalan turunan hujan tinjauan bermusim bagi bulan Ogos 2026, jumlah turunan hujan bagi NBD diramalkan Sedikit Bawah Normal, dengan jumlah turunan hujan sekitar 20 peratus hingga 40 peratus di bawah nilai normal bulanan bagi bulan Ogos, iaitu 230 mm.

Pada masa yang sama, suhu udara maksimum harian dijangka berada dalam lingkungan 33 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius. Bacaan kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara PM10 (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah adalah di tahap Baik ke Sederhana.

Bacaan indeks pencemaran PSI yang tertinggi hari ini (Ahad, 30 Ogos 2026) sejak pukul 9.00 pagi hingga pukul 4.00 petang, dicatatkan seperti berikut iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara, kualiti udara adalah dalam keadaan sederhana dan bacaan PSI sekitar 73 manakala bagi Daerah Belait pula, kualiti udara adalah baik dan bacaan PSI sekitar 50.

Seterusnya, Daerah Temburong, kualiti udara adalah sederhana dan bacaan PSI sekitar 63 dan Daerah Tutong pula, kualiti udara adalah sederhana dan bacaan PSI sekitar 70. Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik. Bacaan PSI di antara 50 dan 100 adalah sederhana.

Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar, manakala bagi kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua dan mereka yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung, atau mempunyai alahan kepada debu adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan atau sesak nafas adalah dinasihatkan untuk berjumpa doktor di pusat kesihatan terdekat. Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sentiasa terus memantau situasi dari semasa ke semasa.

Orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB, laman sesawang dan Instagram jabatan. Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi Talian Kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput.

Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering. Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan.

Maklumat lanjut mengenai bacaan PSI boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.env.gov.bn dan Instagram (@jastre.bn) manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.moh.gov.bn atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).