Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, Jumaat, 4 September. - Sesi Muzakarah berhubung isu anjing liar di Daerah Tutong telah pun diadakan di Bilik Gerakan, Daerah Polis Tutong dipengerusikan bersama oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Irham bin Haji Muhammad Arshad dan Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.
Turut hadir, pegawai-pegawai Polis Daerah Tutong serta wakil-wakil daripada jabatan dan agensi yang berkenaan.
Sesi Muzakarah berkenaan diadakan untuk mengongsikan bersama status tindakan menangani isu anjing liar dan cabaran yang dihadapi oleh pelbagai agensi. Perkara-perkara yang dibincangkan termasuk kawasan-kawasan hotspot dan peningkatan jumlah anjing liar.
Selain itu, sesi tersebut turut meneliti peranan dan bidang kuasa setiap jabatan dan agensi yang berkaitan, di samping membincangkan aspek keselamatan, kebersihan dan kebajikan haiwan.
Langkah-langkah pencegahan serta tindakan susulan secara bersepadu akan diperkukuhkan lagi bagi menangani isu-isu ini di Daerah Tutong secara lebih berkesan dan menyeluruh.