Multaqa Hakim : Memperkukuh profesionalisme, pelaksanaan penghakiman

5 Nov 2026 - 6:08am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Seramai 27 orang hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan menyertai Multaqa Hakim bagi memperkukuh profesionalisme serta menyelaraskan kaedah dan pelaksanaan penghakiman, sekali gus meningkatkan mutu penghakiman musabaqah berkenaan.

Multaqa Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi itu dikendalikan oleh Bahagian Kemajuan Syi’ar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.

Multaqa yang berlangsung selama dua hari, pada 2 dan 3 November 2026 itu diadakan di Room 4, Multipurpose Room, An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan dan diakhiri dengan Majlis Penutup.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad. Turut hadir, pengarah- pengarah dan Pegawai-pegawai Kanan KHEU.

Majlis dimulakan dengan persembahan Zainul Quran oleh tiga qari Negara Brunei Darussalam daripada tiga generasi iaitu qari era 1970-an hingga 1980-an, Dato Paduka Haji Mohd. Yusop bin Bakar; qari era 1990-an, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat dan qari generasi masa kini, Awang Haji Mohammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Bersama Multaqa berkenaan.

Majlis diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis dan seterusnya ucapan balas daripada Hakim Jemputan, Setiausaha Jemaah Hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Kuala Lumpur, Malaysia, Haji Abdul Karim bin Zakaria.

Sepanjang Multaqa tersebut, dua pembentangan telah disampaikan. Pembentangan pertama bertajuk ‘Penyelarasan Penghakiman Musabaqah Tilawah dan Hafazan Al-Quran’ disampaikan oleh Haji Abdul Karim bin Zakaria, yang turut bertindak sebagai Hakim Jemputan, manakala Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, KHEU, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, bertindak selaku moderator.

Pembentangan kedua bertajuk ‘Implementasi Penghakiman Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa’ disampaikan oleh Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh, dengan Pengiran Dr. Haji Amiruddin selaku moderator.

Multaqa berkenaan antara lain bertujuan menjadi wadah pertemuan dan percambahan fikiran dalam kalangan individu yang sering dilantik sebagai hakim bagi pertandingan membaca Al-Quran di peringkat kebangsaan, antarabangsa atau yang setaraf dengannya.

Selain itu, penganjurannya juga bertujuan mendapatkan pandangan serta input bagi mengemas kini garis panduan dan mekanisme pelaksanaan Musabaqah Membaca Al-Quran dan menyelaraskan skim pemarkahan daripada peringkat saringan hingga ke peringkat akhir bagi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

Seterusnya, ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada para hakim berpengalaman untuk berkongsi pandangan serta pengalaman, di samping menetapkan garis panduan bagi pemilihan hakim.

Penganjuran Multaqa tersebut dihasratkan dapat memperkukuh kefahaman dan kesepakatan dalam kalangan para hakim, khususnya dalam aspek penilaian, pemarkahan serta pelaksanaan penghakiman yang lebih teratur dan seragam, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu dan kecemerlangan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan pada masa akan datang.

Usaha berkenaan juga selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, serta bertepatan dengan agenda utama KHEU dalam menyebarluaskan syiar Islam dan memperkukuh penghayatan ajaran agama Islam yang membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.

Acara seterusnya menyaksikan penyampaian sijil dan penghargaan kepada Hakim Jemputan serta para hakim oleh tetamu kehormat majlis sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, komitmen dan penglibatan mereka dalam menjayakan Multaqa berkenaan.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.