Miliki mercun tanpa permit : Lelaki tempatan didenda

5 Nov 2026 - 5:30am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Majistret Malai Sharifah Nur Baqiyyah binti Malai Shahran telah menjatuhkan hukuman denda terhadap seorang lelaki warga tempatan atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d), Perintah Eksais 2006 iaitu atas kesalahan memiliki mercun tanpa permit yang sah.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak BND7,536 atau pemenjaraan selama tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut terhadap Mohammad Mahdi Khairuddin bin Simran, 50 tahun kerana memiliki sebanyak 96 kotak dan 78 paket mercun daripada pelbagai jenis.

Defendan telah ditangkap pada 24 April 2026, kira-kira pukul 10.10 pagi, bertempat di sebuah rumah di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu. Semua barang yang terlibat, iaitu mercun berkenaan, telah diperintahkan untuk dirampas dan diserahkan kepada kerajaan bagi tujuan pelupusan.