Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
JAKARTA, Rabu, 4 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Ke-50 bagi MABIMS Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 21 hingga 24 Jamadilawal 1448H bersamaan 1 hingga 4 November 2026M di Jakarta, Republik Indonesia dan berakhir pada petang tadi.
Republik Indonesia melalui Kementerian Agama Republik Indonesia selaku tuan rumah mengetengahkan tema ‘Khoiru Ummah : Berbagi Praktik Baik Membangun Masyarakat Islam Berkeadaban’.
Delegasi NBD diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, selaku Ketua SOM NBD dan turut disertai oleh Pegawai-pegawai Sekretariat MABIMS NBD.
SOM Ke-50 bersidang selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 November 2026 bertempat di Sari Pacific Hotel, Jakarta dan dipengerusikan oleh Sekretaris Jenderal, Kementerian Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Prof. Dr. Phil. H. Kamaruddin Amin.
Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yang Berusaha Tuan Muhyidin bin Aziz @ Saari, selaku Ketua Delegasi Negara Malaysia dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yang Berhormat Tuan Kadir Maideen bin Mohamed selaku Ketua SOM Republik Singapura, berserta delegasi masing-masing.
SOM Ke-50 memberikan tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan Rancangan Strategik MABIMS 2026–2030 serta usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam hal ehwal Islam.
NBD selaku Negara Penyelaras Fokus Strategik Potensi Belia turut mengetengahkan usaha pemerkasaan belia Islam melalui program dan inisiatif bersama negara anggota.
Turut diadakan ialah pelancaran Buku Takwim Fokus Strategik MABIMS 2026–2030 oleh Ketua-ketua SOM negara anggota MABIMS. Buku tersebut menjadi rujukan bersama bagi memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan program sepanjang tempoh rancangan strategik tersebut.
Selain mesyuarat berkenaan, Seminar Kertas Tema SOM Kali Ke-50 telah diadakan pada pagi Isnin, 2 November 2026 dengan kerjasama Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta.
NBD diwakili oleh Timbalan Dekan, Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Dayang Hajah Siti Juriah@Hajah Raneya Fatehah binti Haji Japar.
Delegasi Negara-negara Anggota MABIMS turut diraikan dalam Majlis Jamuan Makan Malam yang dihoskan oleh Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Prof. Dr. K.H. Nasaruddin Umar, pada Ahad malam, 1 November 2026.
Dalam ucapan alu-aluannya di majlis tersebut, Yang Terhormat Prof. Dr. K.H. Nasaruddin Umar mengajak keempat empat negara anggota MABIMS untuk bersama-sama merumuskan kriteria yang konkrit bagi mewujudkan khairu ummah di rantau ini, serta mencadangkan penubuhan sebuah pusat kolaborasi bagi memperkukuh masa depan umat Islam.
Yang Terhormat Prof. Dr. K.H. Nasaruddin Umar juga menekankan kepentingan komunikasi yang intensif dan kesinambungan kerjasama MABIMS yang tidak hanya terhad kepada pertemuan sekali setahun.
Penyertaan NBD dalam SOM Ke-50 yang berakhir hari ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama serantau serta menghasilkan inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat Islam di rantau MABIMS.