Menyelaraskan kerangka kemahiran AI dengan matlamat ekonomi digital serantau

4 Sep 2026 - 6:49am

Siaran Akhbar : Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 September. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) menganjurkan Bengkel ASEAN mengenai Kerangka Kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) yang berlangsung selama dua hari, dari 2 hingga 3 September 2026, di Centrepoint Hotel.

Bengkel berkenaan menjadi platform kerjasama bagi Negara-negara Anggota ASEAN (AMS) dan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membincangkan serta menyelaraskan Kerangka Kemahiran AI dengan matlamat ekonomi digital serantau, di samping berkongsi amalan terbaik dalam kalangan AMS.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), MTIC, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, selaku Ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN (ASEAN Digital Senior Officials' Meeting-ADGSOM) bagi Negara Brunei Darussalam (NBD).

Awang Haji Hairul Mohd. Daud dalam ucapan alu-aluannya menekankan potensi AI dalam meningkatkan produktiviti, mentransformasikan perniagaan, menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik serta mewujudkan industri-industri baharu.

Jelasnya lagi, seiring dengan perkembangan AI yang pesat, adalah penting untuk memastikan masyarakat, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta komuniti dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian bagi membolehkan mereka mengambil bahagian serta meraih manfaat daripada perubahan berkenaan.

NBD menerajui pembangunan Kerangka Kemahiran AI ASEAN yang akan berfungsi sebagai rujukan serantau bersama dalam mengenal pasti kompetensi AI yang diperlukan merentas tenaga kerja dan industri.

Pada masa yang sama, kerangka berkenaan akan memberikan fleksibiliti kepada Negara-negara Anggota untuk membangunkan program serta laluan latihan yang bersesuaian mengikut keperluan dan keadaan masing-masing.

Hasil bengkel berkenaan dijangka menjadi satu pencapaian penting dalam menterjemahkan perkongsian pandangan dan pengalaman kepada hasil projek yang lebih nyata. Maklum balas konstruktif yang diperoleh akan menyumbang secara langsung kepada perumusan dan pembangunan Kerangka Kemahiran AI ASEAN, bagi memastikan penanda aras kompetensi, garis panduan latihan serta peranan pekerjaan mengikut sektor yang mencerminkan keperluan sebenar perniagaan di seluruh ASEAN.

Usaha berkenaan turut mendukung visi strategik Pelan Induk Digital ASEAN 2030 (ADM 2030), selaras dengan peralihan ASEAN daripada tumpuan terhadap kesalinghubungan asas kepada era kecerdasan berhubung.

Bengkel berkenaan turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan, institusi kewangan, industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta institusi akademik dari Negara-negara Anggota ASEAN.

Sebagai langkah seterusnya, dapatan dan maklum balas daripada bengkel berkenaan akan dikumpulkan dan diteliti bagi memperhalusi cadangan Kerangka Kemahiran AI ASEAN.

MTIC dan AITI kini bekerjasama rapat dengan titik fokus AMS bagi meneliti serta memperkemas hasil berkenaan sebelum dikemukakan untuk mendapatkan pengesahan ADGSOM.

Rangka kerja yang dicadangkan berkenaan dijangka dimuktamadkan dan dibentangkan pada 2nd ASEAN Digital Senior Officials' Meeting dan Majlis ASEAN Telecommunications Regulators' Council (ADGSOM – ATRC) Leaders' Retreat of 2026, yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.