Berita : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong
SENGKURONG, Jumaat, 4 September. – Dalam menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi, Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali (MSSA), Kampung Sengkurong baru-baru ini telah mengadakan ceramah sempena Maulidur Rasul bertemakan 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Insan Agung, Teladan Sepanjang Zaman' di MSSA, Kampung Sengkurong.
Ceramah berkenaan dihadiri oleh lebih 80 peserta dan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta penghayatan terhadap keperibadian, akhlak dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian.
Program dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, diikuti dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman.
Menerusi sesi ceramah berkenaan, para peserta berpeluang mendalami keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta menelusuri nilai-nilai yang dapat dijadikan panduan dalam membentuk akhlak dan peribadi yang baik. Perkongsian berkenaan turut memberikan penekanan terhadap kepentingan menjadikan sunnah dan akhlak Baginda sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian.
Program turut disusuli dengan Aktiviti Interaktif Kahoot yang menguji pengetahuan dan kefahaman berdasarkan perkongsian yang telah disampaikan. Aktiviti berkenaan turut memberikan peluang kepada peserta untuk terlibat secara aktif dalam suasana pembelajaran yang lebih santai.
Seterusnya, para peserta mengikuti sesi bengkel yang memberikan ruang untuk membuat refleksi serta menghubungkan pengajaran daripada ceramah dengan amalan dan situasi dalam kehidupan seharian.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat menyemai kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta mendorong para peserta untuk terus memperkukuh ilmu dan akhlak berlandaskan ajaran Baginda.