Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) dan Unit Pembelajaran Digital dan Inovasi, Jabatan Sekolah-Sekolah telah menyelaras penyertaan seramai 58 pelajar daripada dua buah sekolah, iaitu Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), dalam pertandingan peringkat antarabangsa yang diadakan secara maya pada 24 hingga 26 Ogos 2026.
Pertandingan Virtual Eco-STEM Global 2026 merupakan anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara 2 dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Tasek Utara 2, Johor Bahru, Malaysia.
Pertandingan yang julung kali diadakan pada tahun ini membawa tema 'Bridging STI Culture, Engineering A Sustainable Future', dan bertujuan untuk membina asas yang kukuh dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), di samping memperkasa generasi muda untuk menghasilkan penyelesaian berimpak ke arah kelestarian global melalui kolaborasi secara maya.
Sebanyak lima kategori telah dipertandingkan, iaitu Global Eco-Tech Pitching Challenge; Global Eco-Print 3D Challenge; Global Agrobot Challenge; Sustainable School : Global Smart Challenge; dan Global Bio-Digital Earth Challenge.
Setiap sekolah diwakili oleh empat hingga enam pelajar bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Secara keseluruhan, para peserta dari Negara Brunei Darussalam (NBD) telah berjaya meraih kedudukan lima teratas dalam empat daripada lima kategori yang dipertandingkan.
Bagi Kategori Global Eco-Tech Pitching Challenge, Kumpulan Siap Siaga Brunei dari SM SMJA telah berjaya meraih tempat pertama.
Seterusnya, dalam Kategori Global Eco-Print 3D Challenge pula, Kumpulan Draga PlaneEX dari MSPSBS telah berjaya menyandang tempat pertama, manakala Kumpulan PLEN dari SM SMJA pula meraih tempat ketiga.
Dalam Kategori Global Agrobot Challenge, Kumpulan H.A.R.V.E.S.T dari SM SMJA telah merangkul tempat kedua, manakala Kumpulan Project Demeter dari MSPSBS pula berjaya meraih tempat keempat.
Sementara itu bagi Kategori Sustainable School: Global Smart Challenge, Kumpulan Eco Visionaries dari MSPSBS pula mendapat tempat keempat.
Penganjuran pertandingan seumpama berkenaan diharap dapat menjadi platform untuk mengasah potensi dan mengembangkan bakat para pelajar secara optimum, di samping melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya inovatif melalui pendedahan kepada pelbagai program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).