Memupuk keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi terhadap nilai keagamaan

1 Sep 2026 - 5:56am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. – Bahagian Keugamaan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pertandingan Pidato sempena Ilal Hijrah 1448 Hijrah, yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisyam bin Haji Masri.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin; serta para pemimpin, hakim, peserta pertandingan dan jemputan yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keugamaan, PPNBD, Skip Haji Rosaimi bin Haji Othman, selaku Pengerusi Majlis.

Pertandingan Pidato yang berlangsung pada sebelah pagi berkenaan didahului dengan taklimat pertandingan, sebelum para peserta bersaing dalam Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan.

Bagi Kategori Lelaki, johan disandang oleh Awang Muhammad Danial Haikal bin Muhammad Abdul Hafiz daripada Pasukan Pengakap Terbuka 1111, diikuti Awang Hazlam Syiblee Mundzir bin Nasrun Sumurhakim daripada pasukan yang sama sebagai naib johan, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Syahminul Rahim bin Mohd. Shahrin daripada Pasukan Pengakap Terbuka Lamunin 2032.

Sementara itu bagi Kategori Perempuan pula, Dayang Nur Syahirah binti Syakirin daripada Pasukan Pengakap Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha 1106 muncul sebagai Johan, manakala Dayang Nur Batrisya Humaira' binti Awang Mohammad Abu Hanafiah daripada pasukan yang sama menyandang naib johan, manakala  Dayang Syazana Zafirah binti Zulrani daripada Pasukan Pengakap Sekolah Arab Belait 3036 pula menduduki tempat ketiga.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada Kumpulan Aflahul Jinan, diikuti persembahan oleh johan Pertandingan Pidato.

Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh tetamu kehormat majlis, diikuti penyampaian sagu hati kepada para hakim dan Kumpulan Aflahul Jinan.

Penganjuran pertandingan berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi Sambutan Ilal Hijrah 1448H dalam kalangan warga pengakap, di samping memupuk keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan penghayatan terhadap nilai-nilai keagamaan serta semangat Hijrah.