Memupuk budaya membaca Al-Quran dalam kalangan warga emas

30 Og 2026 - 8:04am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

TUTONG, Sabtu, 29 Ogos. - Bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, telah mengadakan Pertandingan Membaca Al-Quran Secara Murattal bagi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah Masjid dan Muslimah Masjid Warga Emas Berumur 70 Tahun Ke Atas Senegara bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Pertandingan berkenaan diadakan di Masjid Kampung Penanjong.

Penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Negara Brunei Darussalam terus menjadi sebuah Negara Zikir dan rakyatnya celik Al-Quran, di samping memupuk budaya membaca Al-Quran dalam kalangan warga emas.

Selain itu, pertandingan berkenaan dihasratkan dapat meningkatkan kecintaan dan penghayatan warga emas terhadap Al-Quran, khususnya dalam aspek bacaan secara murattal dan penguasaan ilmu tajwid.

Pertandingan berkenaan juga memberikan peluang kepada golongan warga emas untuk mempersembahkan bacaan Al-Quran di khalayak ramai, di samping mencungkil bakat dan kebolehan mereka serta seterusnya menyemarakkan syiar Islam.

Program berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas serta memupuk semangat keislaman, keimanan dan kesatuan Islamiah melalui penglibatan dalam aktiviti yang berteraskan Al-Quran.

Pertandingan berkenaan terbahagi kepada dua kategori, iaitu Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan.

Johan bagi Kategori Lelaki ialah Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Mohd. Salleh dari Masjid Kampung Tanah Jambu; manakala naib johan disandang oleh Awang Dayem bin Haji Ali dari Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau; sementara tempat ketiga milik Awang Haji Chuchu bin Haji Jalil dari Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.

Sementara johan bagi Kategori Perempuan disandang oleh Dayang Hajah Amidah binti Ghafar dari Masjid Kampung Sinaut; manakala naib johan diraih oleh Dayang Hajah Nora'alia binti Haji Abdul Rahim dari Masjid Kampung Beribi; sementara tempat ketiga milik Datin Hajah Hazizah binti Haji Adam / Haji Othman dari Masjid Kampung Labi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang,  Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Semoga dengan adanya pertandingan seumpama berkenaan, objektif yang telah ditetapkan akan dapat dicapai, khususnya dalam menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan warga emas. Di samping itu, diharapkan program seperti berkenaan akan dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran serta memakmurkan masjid.