Memperluaskan promosi pelancongan NBD di peringkat serantau

6 Sep 2026 - 6:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

KOTA KINABALU, SABAH, Sabtu, 5 September. - Brunei Coffee Trail dibuka secara rasmi kelmarin bersempena Ekspo Antarabangsa Sabah (Sabah International Expo) Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.

Ekspo ini mengundang para pengunjung untuk mengenali Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui suasana kopi dan matcha, produk keluaran tempatan serta tawaran pelancongan negara.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, iaitu Timbalan Ketua Menteri III Sabah dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Malaysia, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick; dan Setiausaha Tetap (Industri) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, NBD, Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

Empat perusahaan kopi dan matcha dari NBD mengambil bahagian dalam acara ini, iaitu Coffee Up!, Kasane, Jumpa Coffee & Roastery, dan Mumba Dai Kofe. Setiap perusahaan menyajikan campuran istimewa, minuman kopi khusus serta minuman hasil tangan mereka sendiri.

Para pengunjung juga berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai usaha Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Artisan Abadi, Eco Ponies Garden dan Skinny Meal. Para peserta pameran ini mengetengahkan produk tempatan, warisan serta pengalaman yang boleh dinikmati oleh para pengunjung di NBD.

Turut diketengahkan ialah  Impressionist Landscape Art & Immersive Exhibition  di BKISHHB. Pameran yang baru-baru ini dilancarkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, menampilkan karya-karya bersejarah oleh pelukis-pelukis terkenal aliran impresionisme.

Pameran tersebut memberikan satu lagi pengalaman kebudayaan kepada para pengunjung ketika Brunei terus memperluas tawaran pelancongannya menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027).

Diadakan serentak dengan Brunei Coffee Trail, Roadshow Tahun Melawat Brunei 2027 di Kota Kinabalu  memperkenalkan kepada para pengunjung pelbagai sisi NBD. Daripada alam semula jadi dan warisan Islam kepada makanan tempatan, hospitaliti serta tarikan kebudayaan, roadshow ini mengetengahkan pelbagai pengalaman untuk peminat aktiviti luar, pencinta budaya, keluarga, pelancong santai serta mereka yang merancang percutian singkat.

Dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, NBD, acara ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan berkenaan untuk memperkenalkan budaya kopi dan matcha Brunei kepada khalayak yang lebih luas di peringkat serantau.

Ia turut menyokong matlamat yang lebih besar untuk menjadikan NBD sebagai destinasi yang menarik kepada para pelancong dari Malaysia.

Brunei Coffee Trail pada tahun ini di Kota Kinabalu membawa kepentingan yang lebih besar dengan adanya jerayawara Tahun Melawat Brunei 2027, yang bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong dari rantau ini dan antarabangsa untuk menerokai negara tersebut.

Orang ramai yang menghadiri Ekspo Antarabangsa Sabah Ke-11 adalah dialu-alukan untuk mengunjungi  Pavilion NBD di SICC  sehingga  6 September 2026, dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari.

Pelbagai aktiviti disediakan, termasuk sesi mencuba kopi dan matcha, demonstrasi penyediaan minuman secara langsung, permainan interaktif dan banyak lagi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram rasmi Brunei Tourism di  @brunei.tourism.