Memperkukuh kebolehpasaran graduan, memperkasa kemahiran insaniah

1 Sep 2026 - 5:50am

Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. - Seramai 115 peserta yang terdiri daripada bakal-bakal graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) jemputan dan orang awam baru-baru ini telah menyertai Program Peningkatan Kompetensi Kerjaya dan Kemahiran Penyampaian Berkesan yang dianjurkan oleh Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, KUPU SB.

Bengkel berlangsung di kampus kolej universiti berkenaan.

Program selama sehari berkenaan merangkumi pelbagai sesi, iaitu Taklimat Teknik Penyampaian Berkesan; Latihan Praktikal dan Rumusan; Penulisan Curriculum Vitae (CV) Menggunakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI); Taklimat Penulisan CV; dan Taklimat Persediaan Temu Duga.

Program dikendalikan oleh tenaga akademik KUPU SB serta fasilitator jemputan dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pusat Pekerjaan Brunei, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Program Peningkatan Kompetensi Kerjaya dan Kemahiran Penyampaian Berkesan merupakan inisiatif Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, KUPU SB bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan serta menyokong usaha memperkasa kemahiran insaniah dan profesional.

Selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa, ia diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam menghasilkan CV yang berkualiti lagi profesional di samping memperkukuh kemahiran penyampaian berkesan termasuk teknik serta strategi menghadapi temu duga dengan penuh yakin dan berwibawa.