Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohd Sahrizal Haji Said
GADONG, Selasa, 27 Oktober. – Meja Bulat Perniagaan Borneo 2026 merupakan platform penting untuk meneruskan perbincangan yang telah diadakan sebelum ini, dengan memberikan tumpuan kepada salah satu pemacu utama bagi merealisasikan wawasan berkenaan, iaitu pelaburan.
Lebih penting lagi, platform tersebut membuka peluang kepada kerajaan, sektor perniagaan dan para pelabur untuk beralih daripada perbincangan kepada kerjasama praktikal, termasuk mengenal pasti peluang yang mampu menjana pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada seluruh Borneo.
Perkara itu digariskan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei menerusi ucaptamanya pada pembukaan Meja Bulat Perniagaan Borneo 2026 yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.
Dalam pada itu, Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei Darussalam (ASEAN-BAC) dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei Darussalam (ABAC) atas usaha berterusan dalam menggalakkan perkongsian awam-swasta serta memajukan kerjasama ekonomi serantau.
Penglibatan seumpama itu semakin penting bagi memastikan dasar yang digubal sentiasa mengambil kira realiti perniagaan, manakala strategi pelaburan dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
Bagi merealisasikan agenda pelaburan bersama untuk Borneo katanya, kerjasama yang lebih erat dalam kalangan agensi promosi pelaburan (IPA) amat penting dalam memperkukuh keupayaan institusi, berkongsi amalan terbaik, meningkatkan kemudahan kepada para pelabur serta membangunkan senarai projek yang berdaya maju dari segi pembiayaan dan bersedia untuk pelaburan.
Melalui kerjasama sedemikian, beliau percaya Borneo secara keseluruhannya akan dapat mengetengahkan tawaran pelaburan yang lebih kukuh dan terselaras.
Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) tambahnya, pelaburan merupakan pemacu utama kepelbagaian ekonomi dan pertumbuhan mampan, di mana usaha berkenaan berpandukan Wawasan Brunei 2035 yang menghasratkan sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan, disokong oleh rakyat yang berkemahiran tinggi serta kualiti kehidupan yang tinggi.
"Sehubungan itu, pembangunan ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan merupakan teras penting bagi merealisasikan wawasan berkenaan melalui penglibatan sektor swasta yang lebih kukuh, inovasi, pembangunan modal insan serta usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana nilai jangka panjang," tekannya.
Sebagai sebuah ekonomi kecil tambahnya lagi, NBD menyedari bahawa kepelbagaian ekonomi tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian. Keupayaan negara untuk membangunkan industri baharu, menembusi pasaran yang lebih luas dan menarik pelaburan perlu berkait rapat dengan kesalinghubungan serta kerjasama serantau.
Oleh itu, NBD giat mengusahakan pelaburan dalam sektor-sektor yang menyokong transformasi ekonomi dan saling melengkapi peluang serantau yang lebih luas.
Antara sektor berkenaan ialah industri agromakanan. Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri mengongsikan, melalui inisiatif seperti Inisiatif Pemacu Eksport (Export Drive Initiative) serta usaha memperkukuh pematuhan terhadap piawaian yang diiktiraf, termasuk Amalan Pertanian Baik Brunei (Brunei Good Agricultural Practice – BGAP) dan Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practices – GMP), negara menyokong perkembangan perusahaan agromakanan berorientasikan eksport yang berupaya memenuhi keperluan pasaran serantau dan antarabangsa.
Peluang pelaburan dalam sektor agromakanan merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk pengeluaran makanan, pemprosesan, logistik, pembangunan rantaian sejuk serta penggunaan teknologi.
Satu lagi bidang keutamaan katanya ialah pembangunan maritim dan logistik. Pelaburan dalam Projek Pembesaran dan Pengubahsuaian Pelabuhan Muara, termasuk pembangunan Zon Perdagangan Pelabuhan, bertujuan memperkukuh kedudukan NBD sebagai hab perdagangan dan logistik serantau.
Inisiatif-inisiatif berkenaan terangnya bukan sahaja penting bagi usaha kepelbagaian ekonomi NBD, malah turut membuka peluang untuk memperkukuh rantaian bekalan serantau, meningkatkan kesalinghubungan serta memudahkan pergerakan barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang lebih meluas di seluruh Borneo.
Walau bagaimanapun jelasnya, di samping usaha di peringkat negara yang tetap penting, daya saing Borneo dalam jangka panjang akan semakin ditentukan oleh keberkesanan kerjasama merentas sempadan.
Dalam ekonomi global yang semakin saling berhubung, potensi sepenuhnya tidak akan dapat direalisasikan sekiranya setiap pihak bergerak secara bersendirian.
Dalam hal ini tambahnya, kerangka serantau seperti Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia - Malaysia - Filipina (BIMP-EAGA), ASEAN dan APEC memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan bersama.
Visi BIMP-EAGA 2035 yang baru diterima pakai menggariskan hala tuju yang bercita-cita tinggi ke arah pembangunan sub-rantau yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan inklusif.
Jelas Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty lagi, penekanannya terhadap kesalinghubungan, pertumbuhan hijau, transformasi digital, inovasi dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bukan sahaja sejajar dengan aspirasi Borneo, malah turut menyediakan kerangka bagi membuka potensi ekonomi pulau ini secara menyeluruh.
Bagi para pelabur, perkembangan tersebut menawarkan peluang yang besar. Dengan pembangunan koridor ekonomi dan peningkatan kesalinghubungan merentas sempadan, Borneo berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah pasaran bersepadu dan bukannya ekonomi yang berasingan.
Langkah ini akan meningkatkan daya tarikan Borneo sebagai destinasi pelaburan berkualiti, memperkukuh rantaian nilai serantau serta mewujudkan peluang ekonomi baharu di seluruh sub-rantau.
Dalam konteks ini, pembangunan ibu negarabaharu Republik Indonesia, Nusantara, di Kalimantan Timur yang dirancang sebagai sebuah bandar hijau dan mampan, berpotensi menjadi pemangkin utama kepada kegiatan ekonomi.
Pembangunan tersebut boleh merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh Borneo, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap infrastruktur, logistik, pelancongan, perkhidmatan profesional, tenaga boleh diperbaharui dan industri sokongan yang lain, seterusnya membuka peluang yang lebih luas kepada perusahaan di seluruh Borneo.
Bagi memaksimumkan peluang berkenaan terangnya lagi, kerjasama ekonomi yang lebih erat di seluruh Borneo amat diperlukan.
Hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh, kesalinghubungan yang dipertingkat serta pertukaran rakyat yang lebih meluas dapat membantu perusahaan mengambil bahagian dengan lebih berkesan dalam rantaian nilai.
"Usaha tersebut akan memperkukuh kedudukan Borneo sebagai rantau ekonomi yang lebih bersepadu, berdaya saing dan bersedia menerima pelaburan," ujarnya.