Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam (PA) mengenai kewajipan menunaikan fardu haji sebagai Rukun Islam Kelima, di samping memberi pendedahan mengenai pengurusan ibadah haji serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Urusan Haji (JUH), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Program Ke Arah Warga PA Yang Arif Tentang Tuntutan Rukun Islam Kelima Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi pada pagi tadi.
Program yang diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, KHEU berkenaan telah dihadiri oleh seramai 80 peserta.
Pada tahun ini, penyertaan program berkenaan disasarkan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan daripada tiga buah kementerian, iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, khususnya mereka yang belum menunaikan fardu haji.
Pengisian program merangkumi beberapa sesi penerangan dan pembentangan yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari JUH, KHEU.
Antara perkara yang dikongsikan termasuk pengenalan kepada JUH, KHEU; ibadah haji sebagai Rukun Islam Kelima, pelaksanaan ibadah haji serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada warga PA dan orang ramai.
Antara kemudahan yang diterangkan ialah pengurniaan tambang menunaikan fardu haji sebanyak BND4,500 kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat selama 12 tahun dan ke atas. Kemudahan berkenaan telah diberikan sejak 2012.
Selain itu, para peserta turut diberikan penerangan mengenai kemudahan pendaftaran haji melalui sistem Bruhaj yang membolehkan orang ramai membuat pendaftaran pada bila-bila masa, di samping penjelasan mengenai perjalanan manasik haji bagi jemaah haji Negara Brunei Darussalam.