Memacu pertumbuhan ekonomi melalui inovasi, kemampanan

28 Okt 2026 - 7:48am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd Sahrizal Haji Said

GADONG, Selasa, 27 Oktober. – Visi Komuniti ASEAN 2045 menyediakan hala tuju serantau ke arah ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berteraskan rakyat, sekali gus membuka peluang kepada Borneo untuk memanfaatkan kemajuan teknologi, industri mampan dan perkembangan rantaian bekalan serantau.

Sementara itu, Visi Putrajaya APEC 2040 turut menekankan kepentingan keterbukaan, inovasi dan kemampanan dalam memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) mengetengahkan perkara itu dalam ucaptamanya di pembukaan Meja Bulat Perniagaan Borneo 2026 yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun.

Bagi Borneo katanya, perkara ini menggariskan keperluan untuk memperkukuh persekitaran perniagaan, mempercepat pendigitalan, menggalakkan inovasi dan meningkatkan daya saing dalam rantau Asia-Pasifik yang lebih luas.

Terangnya, secara keseluruhannya, kerangka serantau tersebut menyediakan asas yang kukuh bagi kerjasama ekonomi, di samping membolehkan Borneo memanfaatkan kedudukan strategik dan sumber yang pelbagai untuk muncul sebagai rantau ekonomi yang lebih terhubung, berdaya saing dan bersedia menerima pelaburan.

"Bagi membangunkan agenda pelaburan bersama, tumpuan perlu diberikan kepada bidang yang mampu menghasilkan kerjasama dengan manfaat yang bermakna dan mampan," ujarnya.

Pertama, agromakanan dan keterjaminan makanan. Kerjasama sedia ada antara Negara Brunei Darussalam (NBD), Sabah dan Sarawak menyediakan asas yang kukuh bagi perkongsian yang berdaya maju dari segi komersial dalam penanaman padi, penternakan, perikanan, akuakultur dan pemprosesan makanan.

Dengan memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memperluas pelaburan merentas sempadan terangnya, keterjaminan makanan dapat dipertingkatkan, di samping mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Selain itu tambahnya, pembangunan pelancongan turut dikenal pasti sebagai bidang berpotensi melalui pemanfaatan biodiversiti, warisan budaya dan kepelbagaian tarikan pelancongan Borneo.

Usaha tersebut boleh memperkukuh daya tarikan Borneo sebagai rantau pelancongan pelbagai destinasi, sekali gus membuka peluang pelaburan dalam sektor perhotelan, ekopelancongan, pengangkutan dan industri sokongan yang turut memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

Dalam kerjasama tenaga, NBD mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri serta teknologi rendah karbon yang lain.

Usaha memperkukuh kesalinghubungan tenaga jelas Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty, termasuk inisiatif yang berkaitan dengan wawasan Grid Kuasa ASEAN, dapat meningkatkan keterjaminan tenaga, daya tahan dan kesalinghubungan serantau.

Keempat, logistik dan kesalinghubungan. Penambahbaikan kesalinghubungan darat, maritim, udara dan digital amat penting bagi memudahkan perdagangan, pelaburan serta pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan yang cekap di seluruh Borneo.

Inisiatif-inisiatif sedemikian tekannya, dapat memperkukuh keterjaminan tenaga, menggerakkan pelaburan dan menyokong matlamat kemampanan bersama.

Melalui bidang kerjasama tersebut tambah Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, sebuah ekonomi serantau yang lebih bersepadu dan berdaya tahan dapat dibangunkan demi manfaat perusahaan, masyarakat dan generasi akan datang di seluruh Borneo.

Sejajar dengan tema pada hari ini, beliau percaya agenda pelaburan bersama untuk Borneo hendaklah berpandukan empat prinsip utama, iaitu kesalinghubungan, kemampanan, perkongsian dan keterangkuman.

Pertama, kesaling hubungan serantau dan integrasi ekonomi. Kerjasama di bawah BIMP-EAGA, ASEAN dan APEC perlu diperdalam bagi memperkukuh kesalinghubungan merentas sempadan, memudahkan perdagangan dan pelaburan serta mengintegrasikan Borneo dengan lebih berkesan ke dalam rantaian nilai serantau dan global.

Kedua, pelaburan berkualiti tinggi dan mampan. Usaha menarik pelaburan hendaklah menyokong kepelbagaian ekonomi, menggalakkan pertumbuhan hijau, memacu transformasi digital serta memberikan manfaat ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam jangka panjang.

Ketiga, perkongsian sektor swasta dan pemerkasaan PMKS. Kerjasama antara kerajaan, pelabur dan perusahaan perlu diperkukuh, di samping membolehkan PMKS menembusi pasaran baharu, mengambil bahagian dalam rantaian bekalan serantau dan memperoleh manfaat daripada peluang pelaburan.

Keempat, pertumbuhan inklusif dan kemakmuran bersama. Pelaburan hendaklah memastikan pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan keupayaan tempatan, penggalakan inovasi serta penyampaian manfaat yang nyata kepada masyarakat di seluruh Borneo.

Keempat-empat prinsip tersebut jelasnya lagi, menyediakan asas yang kukuh untuk meletakkan Borneo sebagai destinasi pelaburan yang saling terhubung, berdaya saing dan mampan.

Yang Mulia Datin Seri Paduka Hajah Tutiaty dalam ucaptamanya juga menjelaskan, Wawasan 'Melabur di Borneo: Membina Agenda Pelaburan Bersama' pada hakikatnya adalah mengenai usaha membina masa depan bersama.

Masa depan yang menyaksikan ekonomi kita lebih terhubung, perusahaan lebih berdaya saing dan masyarakat lebih makmur. Masa depan yang menyaksikan kerjasama diterjemahkan kepada pelaburan, pelaburan membuka peluang dan peluang membawa kepada kemajuan ekonomi serta sosial yang berkekalan.

Oleh itu terangnya, marilah kita bersama-sama memastikan Borneo bukan sahaja kaya dengan sumber, malah kaya dengan peluang untuk perusahaan, pelabur, rakyat dan generasi akan datang.

"Melalui kesalinghubungan serantau dan kerjasama yang lebih kukuh, kita mampu membangunkan ekonomi yang dinamik serta menjana kemakmuran bersama untuk generasi akan datang," ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Hajah Tutiaty turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UN ESCAP) melalui Pelan Tindakan Promosi Pelaburan Serantau (RIPAP) 2025-2030, yang menyokong pengukuhan keupayaan promosi pelaburan, penyelarasan dan perkongsian pengetahuan di seluruh rantau ini.

Beliau berharap agar Meja Bulat Perniagaan Borneo berjalan dengan jayanya serta menghasilkan perbincangan yang bermanfaat dan hasil yang nyata dalam memajukan agenda pelaburan bersama, di samping menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan kemakmuran Borneo.