Masjid pusat penyatuan ummah, penyuburan ilmu, pembentukan generasi

30 Og 2026 - 8:18am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Sabtu, 29 Ogos. - Bersempena dengan Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT), malam tadi telah diadakan Majlis Ceramah Perdana yang berlangsung di masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.

 Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai,  Daerah Tutong; dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Ceramah bertajuk 'Mari Mengimarahkan Masjid' telah disampaikan oleh penceramah undangan, Naib Canselor, Universiti Islam Selangor, Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Prof. Dr. Haji Mohd. Farid Ravi bin Abdullah.

Antara inti pati ceramah yang disampaikan termasuklah mengenai masjid yang bukanlah hanya sekadar sebagai sebuah tempat beribadah sahaja, bahkan juga berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah, penyuburan ilmu dan pembentukan generasi yang dekat dengan Allah Subhanahu Wata'ala.

Yang Berbahagia Dato' Prof. Dr. Haji Mohd. Farid Ravi turut menyentuh mengenai kepentingan menjaga kebersihan masjid dan setiap pengunjung setiap kali memasuki masjid.

Majlis pada malam berkenaan terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh Imam MHBPT, Awang Sahibol Omar bin Haji Yussof, dan diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah undangan dan tetamu kehormat majlis.

Ceramah Perdana berkenaan dihadiri oleh lebih 300 orang daripada berbagai peringkat umur. Bagi memohon keberkatan dan kelancaran Sambutan Jubli Intan MHBPT, Majlis Sembahyang Hajat dan Doa Hajat telah diadakan pada Rabu, 26 Ogos 2026 lepas, diikuti dengan beberapa aktiviti program majlis ilmu termasuk Forum Belia, Kempen Menderma Darah, Tazkirah dan lain-lain yang telah dirancang dan disusun bagi mengimarahkan masjid dan meraikan Sambutan Jubli Intan MHBPT di sepanjang tahun ini.

MHBPT telah dirasmikan pada 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang pada ketika itu bergelar Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah.

MHBPT yang merupakan masjid utama di Daerah Tutong bukan sahaja dihasratkan sebagai sebuah tempat beribadat tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat serta tumpuan bagi acara-acara keraian dan Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam dan negara.