Malam Mencintai Rasul semai rasa cinta kepada Rasulullah

4 Sep 2026 - 6:46am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Azmah Haji Ahad

TUTONG, Khamis, 3 September. - Bagi memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menzahirkan rasa cinta, kasih dan penghargaan terhadap perjuangan Baginda di samping mendedahkan ajaran agama Islam, Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menganjurkan Majlis Malam Mencintai Rasul sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi malam tadi.

Majlis berkenaan diadakan bersama para mualaf dan masyarakat bukan Islam, bertempat di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Turut hadir, Pemangku Penolong Pengarah PDI, Awang Isham bin Awang Ismail; Ketua Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir; Pengarah Sekolah Chung Hwa Daerah Tutong, Awang Soon Seng Lee; dan Yang Dipertua Pakatan Sang Jati Dusun Daerah Tutong, Awang Johan bin Benson.

Juga hadir, Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong, para pegawai dan kakitangan PDI dan Cawangan Da'wah Daerah Tutong, para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II Siri Ke-43 (Lelaki) dan Siri Ke-44 (Perempuan), serta para mualaf dan masyarakat bukan Islam dari Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.

Acara diteruskan dengan tazkirah yang bertajuk 'Tak Kenal Maka Tak Cinta', yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Awang Muhammad Salihan bin Haji Samra.

Dalam tazkirah berkenaan, beliau antara lain menjelaskan bahawa seseorang tidak akan mampu mencintai insan yang tidak dikenalinya, sebagaimana pepatah 'tak kenal maka tak cinta'.

Menurutnya lagi, salah satu cara untuk mengenali junjungan kita adalah dengan membaca sirah Baginda yang terkandung di dalam riwayat-riwayat hadis. Semakin kita mengenali Rasulullah melalui sirah dan hadis, semakin hati kita akan mencintai Baginda. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk meluangkan masa membaca atau mendengar kisah kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Maulid Dhiyaul Lami' yang dipimpin oleh Kumpulan Babussalam. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan kemudiannya diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Penganjuran majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menzahirkan rasa cinta, kasih dan penghargaan terhadap perjuangan Baginda, di samping memperkenalkan ajaran agama Islam kepada para mualaf dan masyarakat bukan Islam.

Selain itu, majlis berkenaan turut dihasratkan untuk mengukuhkan hubungan harmoni antara masyarakat Muslim dan bukan Islam, serta menyemai rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dalam kalangan para mualaf agar dapat menghayati dan mengamalkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian.