Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) petang tadi menyambut ketibaan rombongan daripada Persatuan Suri Inspirasi Sabah (SIS) dalam satu program lawatan muhibah sempena memperingati Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah 2026 Masihi bertempat di Masjid YSHHB.
Program ini bertujuan untuk mengukuhkan tali silaturahim dan ukhuwah islamiah antara ahli-ahli persatuan dari Sabah, Malaysia dengan warga Muslimah masjid dan takmir masjid serta masyarakat tempatan Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Penolong Ketua Muslimah Masjid YSHHB, Dayang Razimah binti Aman dan diteruskan dengan ucapan balasan daripada Ketua Rombongan Persatuan SIS, Hajah Rahimah binti Haji Sulong.
Kemuncak majlis diserikan dengan Ceramah Khas Sempena Maulidur Rasul 1448 Hijrah 2026 Masihi yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Dalam ceramah berkenaan, beliau menekankan kepentingan meneladani akhlak dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan bermasyarakat serta memperkasakan peranan wanita Muslimah masa kini.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kenang-kenangan. Turut dilengkapi sesi gambar ramai bersama para jemputan khas, dan bacaan Doa Selamat sebagai penutupan majlis yang dipimpin oleh Ketua Imam, Masjid YSHHB, Awang Haji Jalaluddin Jamil bin Mohd. Kushairi Azam.
Program diakhiri dengan jamuan ringan dan sesi ramah mesra.
Pihak Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid YSHHB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan Persatuan SIS dan berharap jaringan ukhuwah rentas sempadan ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.