Kulimpapa Orchestra harumkan nama negara di persada antarabangsa

3 Nov 2026 - 7:11am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Ihsan Kulimpapa Orchestra

TUARAN, SABAH, Isnin, 2 November. – Kumpulan muzik tradisional kontemporari dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Kulimpapa Orchestra, telah mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan Rhythm of Tuaran 2026 yang berlangsung pada 30 hingga 31 Oktober 2026 lalu.

Lebih membanggakan, penyanyi Kulimpapa Orchestra turut mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai Vokalis Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan berkenaan.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari berkenaan dimulakan dengan peringkat saringan pada 30 Oktober 2026, diikuti peringkat akhir pada 31 Oktober 2026.

Pencapaian berkenaan merupakan satu kebanggaan buat Kulimpapa Orchestra, bukan sahaja kerana berjaya bersaing dengan kumpulan-kumpulan berbakat, malah turut membuktikan bahawa muzik tradisional NBD mampu diketengahkan dan mendapat tempat di pentas pertandingan antarabangsa.

Kejayaan berkenaan juga mencerminkan usaha, komitmen serta semangat seluruh anggota Kulimpapa Orchestra dalam membawa identiti muzik NBD ke peringkat yang lebih luas.

Sehubungan itu, Kulimpapa Orchestra merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan serta kepercayaan sepanjang penyertaan dalam pertandingan berkenaan.