Kongsi amalan terbaik dalam penggunaan sains, teknologi nuklear secara selamat

4 Sep 2026 - 6:29am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar

 

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Khamis, 3 September. – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) baru-baru ini menyertai Mesyuarat Tahunan ke-13 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy - ASEANTOM), yang berlangsung di Manila dari 11 hingga 13 Ogos 2026.

Republik Filipina menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut selaku Pengerusi ASEANTOM bagi tahun 2026, dengan Department of Science and Technology-Philippine Nuclear Research Institute (DOST-PNRI) mengetuai penyertaan negara tuan rumah.

Ditubuhkan pada tahun 2013, ASEANTOM menyediakan rangka kerja serantau bagi Negara-Negara Anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dan keupayaan kawal selia dalam bidang keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan nuklear dan radiasi.

Mesyuarat tahunannya membolehkan badan-badan kawal selia ASEAN bertukar maklumat terkini mengenai perkembangan di peringkat kebangsaan dan serantau, meneliti inisiatif yang sedang dilaksanakan, berkongsi pengalaman kawal selia serta amalan baik, dan mengenal pasti bidang kerjasama selanjutnya bagi menyokong penggunaan sains dan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman.

Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Pemangku Ketua Eksekutif SHENA, Dayang Nur al-Ain binti Dr. Haji Abdullah.

Perbincangan merangkumi cadangan penubuhan sebuah Kumpulan Kerja Teknikal (Technical Working Group - TWG) baharu mengenai Keselamatan dan Tadbir Urus Nuklear bagi memperkukuh kerjasama serta kesiapsiagaan kawal selia seiring dengan perkembangan terhadap penggunaan tenaga nuklear di rantau ini.

Para perwakilan turut membincangkan kerjasama strategik dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency - IAEA) bagi membantu Negara-Negara Anggota ASEAN meningkatkan keupayaan serta rangka kerja kawal selia yang diperlukan untuk pembangunan dan penggunaan tenaga nuklear secara selamat dan bertanggungjawab. 

SHENA mengongsikan kemajuan dan strategi NBD dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan di peringkat kebangsaan, pemantauan radiasi alam sekitar, serta penyelarasan antara agensi bagi menghadapi kecemasan radiologi dan nuklear.

SHENA turut mengetengahkan sumbangan berterusan kepada Kumpulan-kumpulan Kerja Teknikal ASEANTOM yang memfokuskan pada pemantauan radiasi alam sekitar, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan, penilaian bahaya dan pemodelan penyebaran radiasi, serta keselamatan dan sekuriti nuklear dan radiologi.

Mesyuarat tersebut berakhir dengan penyerahan rasmi Kepengerusian ASEANTOM daripada Republik Filipina kepada Republik Singapura, yang akan mempengerusikan ASEANTOM pada tahun 2027 dan menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-14.