Ketengahkan bakat, kreativiti dalam masakan, penyediaan makanan, gubahan

7 Sep 2026 - 6:19am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

TEMBURONG, Ahad, 6 September. – Pelbagai kategori masakan termasuk kuih-muih, biskut, buah-buahan dan juga aneka gubahan bunga dipertandingkan pada Pameran Urusan Rumahtangga sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 bagi Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Mukim Bangar.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis juga berpeluang melihat secara langsung Pertandingan Memasak Udang Galah yang disertai oleh tiga buah keluarga, dengan setiap keluarga diwakili tiga ahli keluarga.

Pengerusi Persatuan PERTIWI Daerah Temburong, Dayang Hajah Halimah binti Haji Abu Salam dalam ucapannya antara lain berkata, melalui pameran berkenaan, para peserta berpeluang untuk mengetengahkan kepakaran, bakat dan kreativiti masing-masing khususnya dalam bidang masakan, penyediaan makanan dan gubahan.

Pameran berkenaan tambahnya, bukan sahaja menjadi medan untuk menguji kecekapan dan kreativiti para peserta dalam mengolah resipi serta menghasilkan hidangan yang menarik, bahkan turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kerjasama dan memperkukuh hubungan dalam kalangan ahli persatuan serta kaum wanita di daerah ini.

Dengan adanya pameran seumpama berkenaan secara tidak langsung menjadi platform kepada para peminat gubahan dan masakan untuk mengetengahkan kepakaran, bakat dan kreativiti masing-masing khususnya dalam bidang masakan, penyediaan makanan dan gubahan.

Juga hadir pada majlis berkenaan, Naib Yang Dipertua Persatuan PERTIWI, Dayang Hajah Ramlah binti Haji Abdul Ghani; serta ahli-ahli Persatuan PERTIWI Daerah Belait, Tutong dan Temburong.