Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Ihsan : Majlis Perundingan Kampung Bolkiah 'A'
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 September. - Semangat gotong-royong dan keprihatinan terhadap kebersihan persekitaran terus dipupuk dalam kalangan masyarakat melalui Kempen Kebersihan Kampung Bolkiah 'A' dan Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) serta kawasan sekitarnya.
Kempen yang berlangsung di Masjid YSHHB, Kampung Bolkiah 'A' dan sekitarnya disertai kira-kira 40 peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid dan Muslimah Masjid YSHHB, para belia, Ahli Kejiranan Kampung serta Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Zon 4 Kampong Ayer.
Turut menyertai kempen berkenaan, Penghulu Mukim Zon 2 Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid; Pegawai Penguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Abu Bakar @ Addam bin Haji Junaidi; dan Pemangku Ketua Kampung Zon 4 Kampong Ayer.
Aktiviti kebersihan meliputi kawasan dalam dan luar masjid, termasuk kawasan tempat letak kereta Kampung Bolkiah 'A' dan persekitarannya.
Hasil daripada aktiviti berkenaan, kira-kira 30 plastik sampah besar berjaya dikumpulkan, sekali gus mencerminkan komitmen para peserta dalam memastikan kawasan masjid dan persekitaran kampung sentiasa bersih, kemas dan selesa.
Kempen berkenaan merupakan aktiviti tahunan anjuran AJK Takmir Masjid YSHHB bersama MPK Kampung Bolkiah, yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, malah menjadi wadah mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.
Usaha berterusan seumpama berkenaan diharap dapat menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan persekitaran, khususnya kawasan masjid sebagai tempat ibadah dan pusat kegiatan masyarakat.
Selain itu, inisiatif sedemikian bukan sahaja menjadikan kawasan masjid dan persekitaran kampung lebih bersih dan teratur, malah mencerminkan semangat kerjasama serta tanggungjawab bersama masyarakat dalam memelihara kebersihan dan kesejahteraan persekitaran.