Keadaan kualiti udara di NBD sederhana

5 Sep 2026 - 5:12am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa bermula 1 September 2026 pukul 2.00 petang, laporan kualiti udara di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah dipertingkatkan dengan mengambil kira bahan partikulat PM2.5 ke dalam laporan Indeks Pencemaran Udara (PSI).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan PM2.5 sebagai bahan partikulat halus dan mempunyai ukuran diameter kurang daripada 2.5 mikrometer. PM2.5 boleh memasuki jauh ke dalam paru-paru dan aliran darah, dan boleh menyebabkan kesan buruk kepada sistem kardiovaskular (jantung) dan pernafasan.

JASTRe akan terus memantau kualiti udara di NBD dan memberikan maklumat terkini mengenai PSI sebanyak lima kali sehari pada pukul 7.00 pagi, 9.00 pagi, 11.00 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang sepanjang tempoh jerebu.

Bacaan indeks pencemaran udara (PSI) hari ini, Jumaat, 4 September 2026, pada pukul 9.00 pagi adalah dicatatkan seperti berikut iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong, bacaan PSI mencatatkan 79, manakala Daerah Belait catat PSI, 80 dan Daerah Tutong mencatatkan PSI, 73. Keadaan kualiti bagi keempat-empat daerah adalah Sederhana.

Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara Baik. Bacaan PSI di antara 51 dan 100 adalah Sederhana. Bacaan PSI di antara 101 dan 200 adalah Tidak Sihat. Bacaan PSI 201 dan 300 adalah Sangat Tidak Sihat. Bacaan PSI lebih daripada 300 adalah Merbahaya.

Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa apabila bacaan PSI mencapai tahap sederhana (51 ke 100), orang ramai boleh melakukan sebarang aktiviti di luar rumah seperti biasa.

Kanak kanak, wanita mengandung dan warga emas adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah, manakala orang-orang yang menghidap penyakit jantung atau penyakit paru-paru dinasihatkan untuk mengehadkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah.

Kepada mereka yang mengalami gejala yang berterusan atau semakin teruk seperti batuk, sesak nafas, ketidakselesaan pada dada atau kesukaran bernafas adalah dinasihatkan untuk segara mendapatkan rawatan perubatan di klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk merujuk kepada nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan panduan yang lebih lanjut.

Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat di Talian Kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput.

Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering.

Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan.

Maklumat lanjut mengenai bacaan PSI boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang ‘www.env.gov.bn’ dan Instagram (@jastre.bn), manakala maklumat dan nasihat kesihatan boleh diperoleh di laman sesawang ‘www.moh.gov.bn’ atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan.