Keadaan cuaca masih diramalkan panas, kering

31 Og 2026 - 5:44am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung September 2026.

Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di NBD lazimnya lebih stabil, menyebabkan cuaca yang agak panas dan kering serta hujan dan hujan petir kurang berlaku.

Sejak 6 Ogos yang lalu, tiada turunan hujan yang signifikan direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB). Setakat ini, jumlah turunan hujan yang direkodkan bagi Ogos 2026 adalah sebanyak 127.3mm, iaitu sekitar 45 peratus lebih rendah berbanding jumlah purata normal bagi Ogos, iaitu 231.5mm.

NBD telah mengalami keadaan cuaca panas melampau sebanyak 20 hari pada bulan ini iaitu pada 8 hingga 27 Ogos 2026. Bagi bulan ini, beberapa Stesen Pencerapan Cuaca Automatik, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam telah merekodkan suhu maksimum harian tertinggi sekurang-kurangnya 36 darjah Celsius pada hari-hari berikut sebagaimana dalam rajah yang disediakan.

Pada Khamis, 27 Ogos 2026, terdapat tiga kawasan telah merekodkan keadaan cuaca panas melampau iaitu Anggerek Desa, LTAB dan Lakiun; manakala terdapat tujuh kawasan lain yang telah merekodkan suhu cuaca panas luar biasa iaitu, Bandar Seri Begawan, Benutan, Kuala Belait, Labi, Lumapas, Pekan Bangar dan Sinaut.

Pada hari ini, 30 Ogos 2026, Stesen Pencerapan Cuaca di LTAB telah melaporkan jarak penglihatan mendatar berkurangan kepada 5,000m disebabkan oleh jerebu rentas sempadan.

Keadaan cuaca masih diramalkan panas dan kering dengan aktiviti turunan hujan yang minimum sehingga minggu pertama bulan September 2026, dengan keadaan berjerebu masih dijangkakan berlaku disebabkan oleh jerebu rentas sempadan. Manakala, suhu maksimum harian dijangkakan berada dalam lingkungan 33 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah-langkah berpatutan berikutan keadaan cuaca panas dan kering.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).