JPCC semarakkan sambutan Maulud Nabi Muhammad

1 Sep 2026 - 5:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Country Club Sendirian Berhad

JERUDONG, Isnin, 31 Ogos. - Jerudong Park Country Club Sendirian Berhad (JPCC) telah mengadakan ceramah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah bertajuk ‘Meneladani Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Pemimpin: Teladan dalam Membina Organisasi’.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang, wakil dari Pusat Da’wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Dakwah.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Am JPCC, Dayang Hajah Siti Norzalena binti Pehin Orang Kaya Lela Raja Dato Seri Laila Jasa Haji Awang Abdul Rahman, pengurus-pengurus, pegawai-pegawai serta kakitangan JPCC.

Antara inti pati ceramah ialah sifat-sifat mulia Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai seorang pemimpin, termasuk amanah, kebijaksanaan, kesabaran, keadilan, sikap saling menghormati serta keprihatinan terhadap orang lain.

Para peserta turut diberikan penerangan mengenai kepentingan menerapkan nilai-nilai kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menjalankan tanggungjawab dan membina sebuah organisasi yang berintegriti, harmoni serta berdaya maju.

Ceramah turut disertakan dengan aktiviti interaktif menerusi platfom Kahoot! yang menguji pengetahuan warga JPCC mengenai Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Aktiviti tersebut memberi peluang kepada warga JPCC untuk menambah pengetahuan serta menghayati sirah dan keperibadian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam suasana yang menarik dan interaktif.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Dikir Marhaban oleh warga JPCC bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Penganjuran program keagamaan ini merupakan antara usaha berterusan JPCC dalam memperkukuh pembangunan kerohanian para pegawai dan kakitangannya. Program tersebut juga diharap dapat meningkatkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menyemai nilai-nilai kepimpinan berteraskan ajaran Islam serta menjadikan akhlak Baginda sebagai panduan dalam melaksanakan tugas dan amanah.