JKP mengalukan penyertaan pihak berkepentingan sempena VBY2027

8 Sep 2026 - 6:29am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 September. - Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) mengalu-alukan penyertaan pihak berkepentingan di seluruh negara dalam menyokong serta menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY2027).

VBY2027 merupakan satu platform strategik bagi mengetengahkan kekayaan warisan budaya, alam semula jadi, produk tempatan serta pengalaman pelancongan di Negara Brunei Darussalam (NBD), di samping mewujudkan lebih banyak peluang bagi industri pelancongan, para usahawan serta masyarakat setempat.

Sehubungan itu, JKP mengalu-alukan organisasi, syarikat, kumpulan masyarakat dan pihak berkepentingan lain untuk mengemukakan acara, program serta inisiatif untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada VBY2027.

Antara yang boleh diketengahkan termasuk acara dan aktiviti dalam bidang kebudayaan dan warisan, gastronomi, sukan dan rekreasi, pelancongan berasaskan masyarakat, industri kreatif, pembangunan produk pelancongan serta pelbagai inisiatif lain yang dapat memperkaya tawaran pelancongan NBD.

JKP juga mengalu-alukan cadangan yang dapat menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa, mewujudkan pengalaman yang bermakna dan tidak dapat dilupakan, mengetengahkan keunikan NBD serta membuka peluang kepada perniagaan dan masyarakat tempatan untuk meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti pelancongan.

Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang 2027 diharap dapat menyumbang kepada VBY2027 sebagai satu sambutan yang meriah dan berlangsung sepanjang tahun, di samping memperkukuh ekosistem pelancongan NBD.

Pihak berkepentingan juga diingatkan bahawa sebarang penggunaan logo rasmi dan maskot VBY2027 bagi bahan promosi, penerbitan, media sosial, laman sesawang, barangan, produk atau tujuan berkaitan adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang berkenaan serta memerlukan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada JKP.

JPK menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk merebut peluang berkenaan bagi menjadi sebahagian daripada VBY2027 serta sama-sama mengetengahkan NBD ke persada dunia.

Pihak berkepentingan yang berhasrat untuk mengemukakan acara, inisiatif atau cadangan untuk dipertimbangkan adalah dialu-alukan untuk berbuat demikian melalui Kod QR yang disediakan.

Bagi mereka yang telah mengemukakan cadangan sebelum Ogos 2026, sukacita dimaklumkan bahawa cadangan berkenaan kini sedang dalam proses penelitian dan pihak jabatan akan menghubungi mereka pada masa yang bersesuaian.

Untuk pertanyaan berkaitan VBY2027, sila hubungi Sekretariat VBY2027 di talian +673 7172822 atau melalui e-mel di ‘vby2027@tourism.gov.bn’.