JASTRe terus pantau kualiti udara NBD

2 Sep 2026 - 6:57am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa mulai 1 September 2026, pukul 2.00 petang, laporan data kualiti udara di Negara Brunei Darussalam (NBD) akan dipertingkatkan dengan mengambil kira kepekatan zarah halus PM2.5 dalam laporan Pollutant Standard Index (PSI).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan PM2.5 sebagai bahan zarah terampai yang halus dan mempunyai diameter kurang daripada 2.5 mikrometer. PM2.5 boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah, yang menyebabkan kesan buruk kepada sistem kardiovaskular (jantung) dan pernafasan.

JASTRe akan terus memantau kualiti udara di NBD dan memberikan maklumat terkini mengenai PSI sebanyak lima kali sehari pada pukul 7.00 pagi, 9.00 pagi, 11.00 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang sepanjang tempoh jerebu. Bacaan indeks pencemaran PSI hari ini, Selasa, 1 September 2026, pada pukul 4.00 petang dicatatkan sebagaimana di dalam rajah yang disediakan.

Bacaan PSI di bawah 50 adalah Baik. PSI antara 51 dan 100 adalah Sederhana. PSI antara 101 dan 200 adalah Tidak Sihat. PSI antara 201 dan 300 adalah Sangat Tidak Sihat. PSI di atas 300 adalah Merbahaya.

Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa apabila bacaan PSI mencapai tahap sangat tidak sihat (antara 201 dan 300), orang ramai adalah dinasihatkan untuk menghindarkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah dan mengurangkan pendedahan yang tidak diperlukan kepada jerebu.

Kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas adalah dinasihatkan untuk mengehadkan semua aktiviti di luar rumah, manakala orang-orang yang menghidap penyakit jantung atau penyakit paru-paru dinasihatkan untuk menghindarkan semua aktiviti di luar rumah.

Kepada mereka yang mengalami gejala yang berterusan atau semakin teruk seperti batuk, sesak nafas, sakit dada atau kesukaran bernafas adalah dinasihatkan untuk segara mendapatkan rawatan perubatan di klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk merujuk kepada nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan panduan yang lebih lanjut.

Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi Talian Kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput.

Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering.

Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan.

Maklumat lanjut mengenai bacaan PSI boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.env.gov.bn dan Instagram @jastre.bn manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.moh.gov.bn atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan.