Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Seksyen Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan terus memperketat tindakan undang-undang ke atas pembuangan sampah secara haram demi memelihara kebersihan dan persekitaran awam di ibu negara.
Dalam tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pada 22 Ogos 2026, pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas terhadap satu kes pelanggaran di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30), Bab 12(1) ke atas seorang warga asing yang bernama Syed Sirajudeen Abdul Jappar.
Individu berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND500 di bawah Bab 12(1)(e) kerana didapati melakukan kesalahan melonggokkan dan meninggalkan sisa barang-barang terpakai berukuran besar, termasuk kerusi sofa dan tayar-tayar terpakai, di kawasan tanah lapang serta tepi jalan di Kampung Orang Kaya Besar Imas.
Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ingin mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan, bahawa adalah menjadi satu kesalahan dibawah Akta Kesalahan Kesalahan Rampaian (Penggal 30) jika sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dijaga bersama, yang mana denda maksima, jika didapati sabit kesalahan, adalah sebanyak BND30,000, dihukum penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau keduanya sekali.
Orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan adalah disarankan supaya tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap, cecair dan sisa perniagaan di sebarang tempat awam.
Orang ramai dialu-alukan untuk mengemukakan aduan atau berkongsi maklumat jika sekiranya mendapati pesalah yang melanggar peraturan ini melalui nombor Talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan +673 7291122.