Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 September. - Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ingin memaklumkan bahawa berdasarkan pemantauan dan penilaian semula terhadap keadaan kualiti udara semasa, Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home-Based Learning - HBL) bagi semua sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam (kerajaan dan swasta) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah ugama, Arab dan institut tahfiz di bawah kawalan KHEU akan dilanjutkan pada Isnin, 7 September 2026.
Kementerian Pendidikan dan KHEU akan terus memantau keadaan semasa dan penilaian semula akan dibuat pada pukul 4.00 petang, Isnin, 7 September 2026, bagi menentukan status pengoperasian institusi-institusi pendidikan seterusnya.
Sebarang perkembangan atau ketetapan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan dan KHEU ingin memaklumkan mengenai langkah-langkah bagi pelajar-pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan awam semasa keadaan jerebu. Bagi memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan para pelajar sentiasa terpelihara sepanjang peperiksaan berlangsung, jabatan-jabatan berkenaan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU akan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan persekitaran institusi pendidikan, khususnya tempat peperiksaan berada dalam keadaan yang kondusif dan selamat.
Para pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan awam, diberi kelonggaran untuk hadir ke institusi pendidikan masing-masing bagi mengikuti sesi ulang kaji serta pengukuhan pembelajaran dan pengajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan; para pelajar yang dijadualkan menduduki peperiksaan awam adalah dikehendaki hadir ke institusi pendidikan masing-masing mengikut tarikh dan waktu peperiksaan yang telah ditetapkan sahaja. Ibu bapa dan penjaga adalah disarankan untuk menghantar pada waktu peperiksaan yang dijadualkan dan mengambil setelah peperiksaan selesai dijalankan.
Bagi institusi pendidikan kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan KHEU, peperiksaan akan dilaksanakan di dewan atau ruang yang mempunyai kemudahan penyaman udara. Bilik atau ruang khas lain yang digunakan bagi tujuan peperiksaan, seperti Makmal Sains, bilik Food and Nutrition serta bilik Design and Technology, kemudahan tambahan seperti penapis udara (air filters) dan alat penyejuk udara (air coolers) akan disediakan mengikut keperluan dan kesesuaian institusi pendidikan masing-masing.
Para pelajar yang hadir ke institusi pendidikan dan yang menduduki peperiksaan awam juga disarankan untuk memakai sungkup muka yang bersesuaian terutamanya bagi pelajar berisiko tinggi seperti mempunyai masalah paru-paru dan jantung khususnya semasa berada di luar bangunan. Pihak institusi pendidikan juga akan menyediakan sungkup muka sebagai langkah tambahan bagi pelajar yang memerlukan.
Para pelajar juga dinasihatkan untuk memastikan pengambilan air minuman yang mencukupi dan sentiasa mematuhi arahan serta langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan sepanjang berada di institusi pendidikan; para pelajar yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma hendaklah sentiasa membawa ubat-ubatan yang diperlukan ke sekolah; dan institusi pendidikan kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan KHEU adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan mengenai pelaksanaan peperiksaan lisan dan bertulis dari semasa ke semasa.
Kementerian Pendidikan dan KHEU merakamkan penghargaan atas kerjasama dan perhatian para pelajar, ibu bapa dan penjaga serta seluruh warga institusi pendidikan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan pembelajaran dan peperiksaan sepanjang tempoh berkenaan.