Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Bagi memberi peluang kepada para Muslimah untuk lebih memahami keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta menjadikan Baginda sebagai contoh teladan dalam kehidupan, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, mengadakan Program Ceramah Khas Sempena Sambutan Maulidur Rasul.
Ceramah khas berkenaan disampaikan oleh penceramah jemputan dari Malaysia, Asma binti Harun, dan berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah isteri kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.
Dalam ceramah tersebut, Asmaantara lain menekankan kepentingan mengamalkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam antaranya membaca Ayatul Kursi, mengambil wuduk sebelum tidur serta membaca tiga Qul iaitu Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.
Amalan tersebut bukan sahaja menjadi ikhtiar memohon perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, malah dapat membantu seseorang tidur dalam keadaan tenang dan mengingati Allah Subhanahu Wata'ala.
Selain itu, beliau turut menjelaskan kepentingan mengamalkan Zikir Fatimah yang terdiri daripada bacaan Subhanallah sebanyak 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akhbar 34 kali.
Ceramah turut menyentuh kelebihan Surah Al-Ikhlas serta amalan membaca tiga Qul pada waktu pagi dan malam sebagai usaha memperkukuh akidah dan meningkatkan penghayatan terhadap sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Program ini dihasratkan dapat menyemai serta menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan para Muslimah.
Dengan adanya program seumpama ini, diharapkan para Muslimah akan dapat memperoleh manfaat serta menambah ilmu pengetahuan mengenai keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Seterusnya, para Muslimah diharap dapat berusaha untuk mengikuti jejak langkah dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.