Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Mohammad Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
RIMBA, Sabtu, 29 Ogos. - Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kali Ke-33 telah bermula hari ini dengan upacara perasmian yang berlangsung di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba Gadong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan perasmian program berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
Juga hadir, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Norfarizal bin Othman; Pengarah IPA, Dr. Dayang Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh; serta jemputan khas dan pegawai-pegawai daripada beberapa Kementerian.
Tetamu kehormat memulakan majlis dengan menyampaikan ucapan perasmian dan mengucapkan tahniah kepada 25 peserta yang terpilih menyertai Program Kepimpinan Eksekutif berkenaan.
Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan seterusnya menggalakkan para peserta untuk mengambil peluang berkenaan bagi mengukuhkan lagi kemahiran kepimpinan mereka dalam persediaan untuk menerajui organisasi dalam menghadapi ketidaktentuan yang semakin meningkat berpunca daripada cabaran kompleks seperti perubahan iklim dan digitalisasi.
EDPSGO akan dijalankan dan dianjurkan oleh IPA dengan kerjasama Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore.
Objektif program eksekutif selama 13 minggu berkenaan adalah untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi keupayaan kepimpinan peserta, kemahiran analitikal dalam bidang dasar awam dan pengurusan strategik serta analisis dan penglibatan pihak berkepentingan.
EDPSGO merupakan program utama di bawah inisiatif Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) yang diwujudkan untuk menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Kelembagaan di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam.