Dialog Teluk Brunei Ke-12 perkukuh jaringan kesusasteraan serantau

6 Sep 2026 - 6:15am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Sabtu, 5 September. -  Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Putra Seni (KPS) menganjurkan Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026, yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga Sabtu, 5 September 2026, bertempat di Balai Sarmayuda, DBP.

Majlis pembukaan rasmi Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026 diadakan malam tadi dengan kehadiran Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.

Dialog pada tahun ini mengetengahkan tema 'Merentas Akar dan Sempadan: Kesusasteraan, Identiti dan Realiti Sosial Teluk Brunei', yang menjadi wadah pertemuan para penggiat bahasa, sastera dan budaya dalam memperkukuh hubungan serta jaringan kesusasteraan serantau, khususnya dalam kalangan negara dan wilayah di sekitar Teluk Brunei.

Sepanjang dua hari penganjurannya, Dialog Teluk Brunei Ke-12 mengetengahkan  tiga sesi pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab, dengan penyertaan pembentang dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Dialog Teluk merupakan kegiatan kesusasteraan serantau yang mula dilaksanakan di Labuan pada tahun 1987 dan dikelolakan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Penganjurannya kemudiannya diteruskan di beberapa lokasi termasuk Bandar Seri Begawan, Limbang, Kota Kinabalu, Sipitang, Miri, Membakut dan Lawas.

Penganjuran Dialog Teluk pernah tertangguh berikutan pandemik COVID-19 sebelum diteruskan semula dan kini kembali diadakan di Bandar Seri Begawan pada tahun 2026. 

Dialog berkenaan menghimpunkan penggiat bahasa, sastera dan budaya dari kawasan pesisiran Pulau Borneo, antaranya Miri, Bandar Seri Begawan, Limbang, Lawas, Labuan, Sipitang, Kuala Penyu, Membakut dan Kota Kinabalu.

Selain ASTERAWANI, antara persatuan dan kumpulan yang terlibat ialah  Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PUTERA)  serta  Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Penganjuran Dialog Teluk dari semasa ke semasa telah berjaya mengakrabkan hubungan dalam kalangan penulis, sarjana, budayawan dan penggiat sastera di wilayah Teluk Brunei, selain menjadi wahana pertukaran pemikiran, pengalaman dan pengetahuan serta menyumbang kepada perkembangan persuratan dan mengetengahkan bakat penulis muda yang berpotensi.

Dalam rangka penganjuran Dialog Teluk Ke-12, satu mesyuarat turut diadakan bagi membincangkan dan menentukan persatuan atau negeri yang akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Dialog Teluk seterusnya.

Penganjuran Dialog Teluk Brunei Ke-12 dihasratkan dapat meneruskan kesinambungan hubungan kesusasteraan dan kebudayaan yang telah terjalin sejak hampir empat dekad, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara penggiat bahasa, sastera dan budaya di rantau ini.