Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Rabu, 4 November. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengadakan Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 – 2026 bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan enam dekad penerbitan majalah Bahana sebagai salah sebuah wadah penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab berkata majalah Bahana merentasi enam dasawarsa sebagai ‘Wadah Hati Nurani Penulis Kreatif’ yang menyimpan warisan, menyemai pemikiran dan menyuluh arah penulisan generasi akan datang dalam menjaring kesinambungan dunia kesusasteraan Melayu Brunei.
Menurut beliau, sambutan ini merupakan simbol kejayaan majalah Bahana yang kekal mempunyai pengaruh tersendiri sehingga ke hari ini, serta sebagai wadah penghormatan buat para karyawan, editor, pelukis dan penulis yang konsisten menyumbangkan karya bermutu sejak 60 tahun yang lalu.
Majlis diteruskan dengan pelancaran Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966-2026 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat juga melancarkan dua bahan terbitan khas DBP, iaitu Edisi Khas Majalah Bahana: Enam Dekad Suara Sastera dan Jejak Rasa Bahana.
Pelancaran kedua-dua bahan terbitan ini merupakan antara usaha DBP dalam mendokumentasikan, menghargai dan memperkenalkan kembali khazanah kesusasteraan yang telah diterbitkan melalui majalah Bahana, di samping memperkukuh peranannya sebagai wadah pengembangan bakat, pemikiran dan kreativiti penulis daripada pelbagai generasi.
Majlis turut diserikan dengan persembahan mendendangkan syair dan tayangan video yang memaparkan perjalanan majalah Bahana selama enam dekad, diikuti dengan Ristaan Pelopor Majalah Bahana yang disampaikan oleh Dato Paduka Awang Haji Mahmud bin Haji Bakir.
Sementara itu, Wacana Sastera Bersama Penulis Bahana menampilkan dua orang tokoh penulis, iaitu Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid dan Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.
Wacana berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin.
Seterusnya, tetamu kehormat menyampaikan hadiah, cenderamata dan sijil kepada 12 pemenang dan 10 hakim Peraduan Penulisan Kreatif Bahana DBP 2026 bagi genre Cerpen, Pantun, Sajak dan Syair; pembicara Ristaan Pelopor Majalah Bahana; serta pembicara dan moderator Wacana Sastera Bersama Penulis Bahana.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Gala Aspirasi Seni turut diadakan pada 4 hingga 5 November 2026 sebagai salah satu pengisian utama sambutan tersebut.
Kegiatan ini merangkumi Jejak Bahana, Forum Sastera: Suara Tiga Generasi dan Gema Bahana yang bertujuan menyemarakkan apresiasi kesusasteraan, memperkukuh hubungan antara generasi penulis serta mendekatkan masyarakat dengan sejarah dan perkembangan majalah Bahana.
Jejak Bahana diadakan pada sebelah petang, 4 November 2026 dengan mengetengahkan aktiviti interaktif secara berkumpulan yang menguji pengetahuan, daya ingatan dan kerjasama peserta melalui penjelajahan berpandukan petunjuk.
Kegiatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mengenali sejarah penerbitan, tokoh penulis dan perkembangan majalah Bahana melalui pendekatan pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.
Ia disusuli dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta.
Manakala, Forum Sastera: Suara Tiga Generasi yang bertemakan ‘Sastera Merentas Zaman: Wacana Cerminan Bangsa’ pula diadakan pada hari Khamis, 5 November 2026.
Tetamu khas ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit.
Forum ini akan menghimpunkan sembilan orang panel yang mewakili tiga generasi penulis, iaitu generasi perintis, pertengahan dan pelapis, bagi berkongsi pengalaman, pandangan serta pemikiran mengenai perkembangan kesusasteraan dan peranan majalah Bahana dalam dunia penulisan tanah air.
Gema Bahana pula dijadualkan berlangsung pada hari yang sama, bermula pada pukul 2.00 petang dengan menampilkan pelbagai persembahan kesenian dan kesusasteraan, antaranya persembahan teater oleh Kumpulan PUTRA Seni, persembahan syair oleh Hidop Zin, persembahan dindang oleh Narudin HA serta deklamasi sajak dan nyanyian puisi oleh penggiat seni.
Keseluruhan kegiatan Gala Aspirasi Seni ini diharap dapat memperluas penglibatan masyarakat, khususnya generasi muda, dalam kegiatan kesusasteraan, di samping memastikan legasi majalah Bahana terus dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966-2026 bukan sahaja menjadi ruang untuk mengenang sejarah dan pencapaian penerbitannya, bahkan memperlihatkan komitmen DBP dalam memastikan kesinambungan majalah ini sebagai wadah pengembangan kesusasteraan Melayu.