Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 29 Ogos. - Penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dihasrat untuk memperkukuh kerjasama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat serantau.
Sehubungan itu, bagi memperingati Sambutan Penubuhan Mastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah selaku Sekretariat Mastera Brunei Darussalam dengan kerjasama Organisasi Alumni Program Penulisan Mastera (OPERA) peringkat Negara Brunei Darussalam (NBD) mengungkayahkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Mastera bertempat di Balai Sarmayuda DBP, di sini.
Majlis tersebut juga disiarkan secara siaran langsung melalui media sosial rasmi Facebook DBP Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing sekali gus melafazkan perasmian Hari Mastera dan melancarkan media sosial rasmi Instagram OPERA Peringkat NBD.
Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, merangkap Pemangku Pengerusi Mastera NBD, para Pegawai Kanan DBP, perwakilan Negara Anggota Mastera (melalui media sosial rasmi DBP), keanggotaan sidang Mastera, para sasterawan, penulis-penulis serta penggiat-penggiat sastera tanah air.
Pemangku Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa kesyukuran terhadap muafakat Mastera yang membuktikan keutuhan kerjasama serantau melalui pelbagai projek kesusasteraan yang berimpak tinggi sejak penubuhannya pada tahun 1995.
Tambah beliau, majlis ini adalah untuk memperingati hari penubuhan tersebut, dengan matlamat utama memasyarakatkan kegiatan sastera. Mastera bertindak sebagai jambatan yang memperkukuh jaringan serantau dalam menghayati sosiobudaya melalui lensa pemikiran para sasterawan.
Kemuncak acara ialah Lafaz Perasmian Sambutan Hari Mastera dan Pelancaran Media Sosial Rasmi Instagram opera_brunei.bn oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis turut didukung dengan Rakaman Ucapan Perutusan daripada Pengerusi dan Ketua Negara Anggota Mastera, iaitu Kepala Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Bapak Hafidz Muksin merangkap Ketua Mastera Indonesia; Ketua Pengarah DBP Kuala Lumpur, Yang Berbahagia Datuk Dr. Hazami bin Jahari, merangkap Pengerusi Mastera Malaysia dan Timbalan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dr. Azhar Ibrahim, merangkap Pengerusi Mastera Singapura.
Majlis kemudian diteruskan dengan Syarahan Mastera yang disampaikan oleh Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, selaku Anggota Sidang (Pakar) Mastera NBD.
Dalam syarahan bertajuk 'Mastera : Wadah Kesusasteraan Serantau, dari Piagam kepada Perkembangan Sastera Melayu-Indonesia', Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim menyatakan bahawa melalui Mastera, NBD bukan sekadar menerima pengalaman daripada negara lain, tetapi turut menyumbang kepada pandangan alam, nilai Melayu Islam Beraja, tradisi persuratan Islam, pengalaman sejarah kesultanan dan keunikan masyarakat kepada khazanah sastera serantau. Ringkasnya, kesusasteraan NBD bergerak dari ruang kebangsaan menuju ke ruang serantau melalui Mastera, tanpa kehilangan identiti jati diri.
Acara diikuti dengan persembahan seni oleh OPERA NBD serta Lantunan Seni Suara Mastera.
Seterusnya, penyampaian sijil dan cenderamata disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada keanggotaan Mastera sejak tahun 1995 hingga 2026 sebagai penghargaan kepada sumbangan serta khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Sambutan Hari Mastera merupakan acara tahunan yang dipersetujui oleh Negara-negara anggota Mastera, iaitu NBD, Republik Indonesia, Malaysia, Republik Singapura dan Thailand.
Penganjurannya bertujuan memperingati hari penubuhan Mastera, iaitu pada 12 Ogos setiap tahun; membariga, mempromosikan dan menyebarluaskan peranan Mastera sebagai badan yang merancang dan memantau perkembangan sastera Melayu / Indonesia di rantau ini serta, memasyarakatkan kegiatan sastera melalui Mastera kepada khalayak secara umum dengan kerjasama Negara Anggota Mastera.