Ceramah motivasi suntik semangat murid hadapi peperiksaan SSSRU

4 Sep 2026 - 5:59am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ihsan Sekolah Ugama Kasat

KASAT, Khamis, 3 September. – Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bukan sekadar medan menguji pencapaian akademik, malah menjadi titik tolak penting dalam membentuk ketahanan mental, rohani serta disiplin diri dalam kalangan murid Darjah 6.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Kasat, Kawasan Brunei IV mengadakan Ceramah Motivasi Menyuntik Semangat khusus bagi murid Darjah 6 yang bakal menduduki Peperiksaan SSSRU 1448 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Bilik Serbaguna sekolah berkenaan.

Ceramah disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali yang antara lain menekankan bahawa kecemerlangan pelajar merupakan satu perkara penting yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan, khususnya daripada ibu bapa yang menjadi antara kunci utama dalam membantu anak-anak mencapai kejayaan.

Menurutnya lagi, konsep kecemerlangan tidak seharusnya dilihat dari sudut pencapaian duniawi semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan pandangan Islam agar kejayaan yang diraih turut membawa kepada kebahagiaan dan kecemerlangan di akhirat.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam amat sinonim dengan konsep kejayaan, sebagaimana seruan azan yang dilaungkan lima kali sehari, 'Hayya 'alal-falah', yang bermaksud marilah menuju kejayaan.

Seruan berkenaan jelasnya, hendaklah disahut dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping diterjemahkan melalui usaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Dalam pada itu, Awang Fariszal menyarakan kepada ibu bapa agar sentiasa menyemai semangat untuk berjaya dalam diri anak-anak serta memberikan dorongan dan sokongan sepanjang mereka menghadapi cabaran pembelajaran, khususnya menjelang peperiksaan SSSRU.

Murid-murid pula tambahnya lagi, dinasihatkan supaya bukan sahaja memberikan tumpuan kepada pelajaran, bahkan turut memperbaiki ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mentaati ibu bapa dan guru, serta menghormati rakan-rakan.

Menurutnya lagi, akhlak yang mulia merupakan asas penting dalam memperoleh ilmu yang berkat, seterusnya memudahkan ilmu untuk difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian sehingga membawa kepada keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Program berkenaan turut memberi penekanan terhadap strategi ulang kaji yang berkesan, pengurusan masa, adab menuntut ilmu serta kepentingan doa, solat dan tawakal dalam menghadapi peperiksaan.

Penganjuran program berkenaan dihasratkan dapat menyuntik semangat juang dan meningkatkan keyakinan diri murid supaya lebih tenang, berdisiplin serta mempunyai perancangan ulang kaji yang teratur sebelum menduduki peperiksaan SSSRU 1448H/2026M.

Pada masa yang sama, penglibatan ibu bapa dan penjaga turut ditekankan sebagai 'tulang belakang' kepada kejayaan anak-anak, di samping mengeratkan silaturahim antara murid, guru dan ibu bapa dalam usaha membentuk generasi yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah.

Dengan adanya program berkenaan, pihak sekolah berharap murid-murid akan lebih bersedia dari segi mental, rohani dan akademik, seterusnya mampu menghadapi peperiksaan dengan penuh keyakinan serta menjadikan usaha menuntut ilmu sebagai satu ibadah.

Semoga segala usaha, doa dan tawakal membuahkan kejayaan, bukan sahaja di dunia, malah berterusan hingga ke akhirat.