Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. – Menjelang musim peperiksaan yang dijadualkan bermula Oktober ini, sekolah-sekolah di bawah pengurusan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) mengambil langkah positif dalam memberikan persediaan kepada para murid dengan mengadakan ceramah motivasi.
Sehubungan itu, seramai 22 orang murid Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Madang yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) telah mengikuti ceramah motivasi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan berkenaan.
Ceramah yang berlangsung di sekolah berkenaan disampaikan oleh penceramah undangan, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghaffor.
Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan beberapa aspek penting yang perlu dimiliki oleh para murid untuk mencapai kejayaan, antaranya disiplin yang tinggi dalam semua aspek, khususnya dalam pembelajaran dan membuat ulang kaji secara konsisten.
Beliau turut menekankan kepentingan memiliki usaha yang mantap dan positif serta keyakinan diri yang tinggi dalam menghadapi peperiksaan. Perkara-perkara berkenaan turut dihuraikan secara lebih terperinci bagi memberikan kefahaman dan dorongan kepada para murid.
Sementara itu, Guru Besar STJ PGGMB Madang, Dayang Suraimah binti Kawi dalam ucapan alu-aluan berkata, aktiviti berkenaan merupakan salah satu inisiatif pihak sekolah dalam membantu meningkatkan semangat dan motivasi para murid untuk menghadapi peperiksaan.
Menurut beliau, selain persediaan dari segi akademik, para murid juga perlu membiasakan diri menjawab soalan dengan teliti dan bijaksana agar dapat memberikan jawapan yang tepat.
Beliau turut berkongsi kejayaan STJ PGGMB Madang yang mencatatkan keputusan 100 peratus lulus PSR pada tahun 2025, dan berharap pencapaian tersebut akan dapat dikekalkan pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para ibu bapa akan terus memainkan peranan dalam mengawasi dan membimbing pembelajaran anak-anak di rumah sebagai usaha bersama membantu mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Turut hadir mengikuti ceramah motivasi tersebut ialah ibu bapa murid serta guru-guru STJ PGGMB Madang.
Ceramah berkenaan diharap dapat menyuntik semangat, meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuh persediaan para murid dalam menghadapi PSR tahun ini.