Berus stensil, berus lukis disyaki diperbuat daripada bulu khinzir

1 Sep 2026 - 5:21am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) ingin memaklumkan mengenai aduan yang diterima oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) berkaitan penjualan berus stensil dan berus lukis jenama Mont Marte di salah sebuah premis perniagaan di negara ini yang disyaki diperbuat daripada bulu khinzir.

Hasil analisis yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa barang gunaan berus berkenaan diperbuat daripada bulu khinzir.

Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, JHES menegaskan kepada pemilik perniagaan berkenaan supaya mengasingkan dengan serta-merta penjualan berus berkenaan daripada produk-produk lain dan hanya membenarkan penjualannya di bahagian tempat atau ruang ‘non-halal section’ serta tidak terdedah kepada orang awam.

Sehubungan itu, KHEU juga ingin mengingatkan para pemilik pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport agar lebih berwaspada dan peka terhadap produk-produk dan barangan gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai bagi memastikan produk-produk yang dijual adalah suci dan bersih serta tidak bercampur dengan bahan yang tidak halal.

Langkah berkenaan adalah demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada mengambil dan menggunakan produk serta barangan gunaan yang tidak halal. Di samping itu, KHEU ingin menegaskan kepada semua pengusaha makanan di negara ini supaya tidak menggunakan sebarang peralatan, perkakas atau barang gunaan yang diperbuat daripada bahan tidak halal, termasuk berus bulu khinzir, dalam penyediaan, pemprosesan, pengendalian atau penyajian makanan yang disediakan kepada orang ramai, khususnya orang Islam.

Mana-mana pelanggaran boleh menjejaskan pematuhan halal dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat serta aduan yang disampaikan, dan ingin menggalakkan orang ramai supaya sentiasa peka serta membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai produk yang tidak halal yang dijual secara terbuka di premis-premis perniagaan.

Orang ramai boleh menghubungi JHES melalui BKMH di talian Hotline +673 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.