Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Khamis, 3 September. - Kementerian Kesihatan melalui Unit Perangkaan, Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Jabatan Dasar dan Perancangan, dengan sokongan teknikal daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini mengadakan Bengkel Pengekodan Mortaliti ICD-10, Pensijilan Perubatan bagi Punca Kematian dan Orientasi ICD-11 selama tiga hari, bermula 3 hingga 5 September 2026, bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan ucapan pembukaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.
Turut menyampaikan ucapan ialah Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Chun Paul Soo.
Bengkel berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam pensijilan perubatan bagi punca kematian serta pengekodan mortaliti ICD-10 yang tepat dan konsisten.
Data mortaliti yang lengkap dan berkualiti adalah penting bagi menyokong perancangan dasar kesihatan, pemantauan penyakit, pengagihan sumber serta pelaporan kesihatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lebih kurang 40 peserta menyertai bengkel tersebut, terdiri daripada pegawai perubatan, ‘mortality coders’ dan pegawai maklumat kesihatan, pegawai rekod perubatan, pakar perubatan kesihatan awam serta wakil-wakil daripada bidang kejururawatan dan profesional kesihatan bersekutu.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta didedahkan kepada prinsip pensijilan punca kematian, pengekodan mortaliti ICD-10, latihan praktikal, jaminan kualiti dan audit serta pengenalan kepada ICD-11.
Bengkel ini diharap dapat memperkukuh lagi keupayaan negara dalam menghasilkan data mortaliti yang lebih tepat, lengkap dan berkualiti bagi menyokong perancangan dan pembangunan perkhidmatan kesihatan di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.