Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 September. - Dalam menghadapi cuaca panas kering yang melanda negara, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang sesuai.
Langkah-langkah tertentu bagi memastikan kesihatan sentiasa terpelihara adalah antaranya, dengan memperbanyakkan minum air putih untuk mengelakkan dehidrasi.
Cuaca panas dan kering boleh menyebabkan badan kehilangan air dengan cepat, sekali gus meningkatkan risiko terkena strok haba dan masalah kesihatan lain.
Justeru itu, kita disarankan untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari, dan memastikan minuman berkenaan bersih serta bebas daripada bahan berbahaya. Elakkan pengambilan minuman beralkohol dan berkafein yang boleh menyebabkan kehilangan air daripada badan.
Selain itu, menggelakkan melakukan aktiviti fizikal di luar rumah ketika matahari sedang panas, iaitu antara pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Jika perlu, lakukan aktiviti berkenaan pada waktu pagi atau lewat petang apabila cuaca lebih sejuk.
Bahkan, kita disarankan untuk mengenakan pakaian yang menutup tetapi lembut. Pilih pakaian yang berwarna cerah dan longgar untuk membantu mengurangkan suhu badan. Pakaian yang diperbuat daripada bahan kapas atau kain yang bernafas mampu menyerap peluh dan membolehkan badan bernafas dengan lebih baik.
Seterusnya, mengamalkan makan makanan berkhasiat dan ringan. Dengan pengambilan makanan yang berserat tinggi, buah-buahan segar, dan sayur-sayuran dapat membantu mengekalkan tenaga serta mengurangkan rasa dahaga.
Dengan mengamalkan langkah-langkah berkenaan, kita dapat melindungi diri daripada risiko kesihatan yang berpunca daripada cuaca panas kering. Orang ramai dapat kekal sihat dan mengelakkan komplikasi kesihatan sepanjang musim panas dan kering ini.