Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Kepentingan mencontohi akhlak mulia Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai asas dalam membentuk keperibadian yang baik, melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta memupuk keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat merupakan antara inti pati Ceramah Khas bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah', yang diadakan sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) serta jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawahnya bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Ceramah khas berkenaan disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
Beliau antara lain juga menekankan bahawa kecintaan kepada Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam hendaklah diterjemahkan melalui penghayatan sunnah dan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian, termasuk mengamalkan sifat amanah, jujur, adil dan berakhlak mulia dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta dalam hubungan sesama manusia.
Ceramah turut menyentuh mengenai kepentingan untuk sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri ke arah membentuk peribadi dan akhlak yang lebih baik, di samping meningkatkan ilmu serta memelihara adab dalam setiap aspek kehidupan, termasuk ketika berinteraksi melalui media sosial dengan menghindari perbuatan menghina, memfitnah dan mendedahkan aib orang lain.
Dalam pada itu, setiap individu juga diseru untuk mewujudkan persekitaran yang positif dan saling mendukung ke arah meningkatkan keimanan, ketakwaan dan kesejahteraan bersama.
Majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan KEPI ini dihadiri oleh Pemangku Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan KEPI, termasuk jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawahnya.
Majlis juga diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh gabungan pendikir KEPI.
Majlis yang diungkayahkan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan ini merupakan antara aktiviti tahunan KEPI dalam menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memperkukuh penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya.