6 ahli PPNBD sertai Jambori Pengakap Malaysia Ke-15

29 Og 2026 - 4:58am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) hari ini mengadakan Acara Pelepasan dan Penyerahan Bendera Kontinjen PPNBD ke Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 (15th Malaysia Scout Jamboree) yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh International Commissioner PPNBD, Skip Ritchie Siabu.

Seterusnya, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin, menyampaikan ucapan dan kata-kata semangat kepada ahli-ahli kontinjen yang mewakili PPNBD dan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Acara turut diselajurkan dengan simbolik penyerahan bendera PPNBD oleh Skip Haji Junaidi kepada wakil kontinjen, Ketua Kontinjen dan Pesuruhjaya Latihan, Awang Zainudin bin Haji Ishak.

Kontinjen PPNBD terdiri daripada enam orang, iaitu Awang Zainudin bin Haji Ishak selaku Ketua Kontinjen; Awang Noorhairizan bin Lumpat; Dayang Siti Noorhafizah @ Siti Suaidah binti Awang Rusli; Elyakamalya anak Sinchun; Awang Muhamad Haikal bin Shamsul; dan Awang Muhd. Qaireen Huzaiman bin Noorulazman.

Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 akan berlangsung pada 29 Ogos 2026 hingga 4 September 2026 di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang, Malaysia.

Majlis Perasmian Jambori dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos 2026 oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Jambori berkenaan dijangka menghimpunkan hampir 7,000 peserta daripada 14 buah negara.

Penyertaan kontinjen PPNBD terdiri daripada ahli Pengakap Kelana dan Pengakap Remaja. Penyertaan berkenaan diharap dapat memberikan pengalaman, pengetahuan dan pendedahan baharu kepada para peserta, di samping mengeratkan hubungan persahabatan dan semangat persaudaraan pengakap di peringkat antarabangsa.

Kontinjen PPNBD juga diharap akan terus membawa nama baik NBD dan PPNBD sepanjang menyertai jambori berkenaan.